Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kisah pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11 yang meninggal dunia selepas dilapor dipukul warden asrama baru-baru, menimbulkan kegemparan dalam masyarakat Malaysia.

Meskipun timbul pelbagai cerita negatif mengenai sekolah tahfiz atau lebih dikenali sebagai sekolah pondok, perkara itu tetap tidak mematahkan semangat ibu bapa menghantar anak mereka ke institusi berkenaan.

Sebaliknya mereka berharap lebih banyak institusi tahfiz diwujudkan di negara ini sama ada dikendalikan pihak kerajaan, swasta atau perseorangan.

Pendapat berkenaan turut dikongsi seorang ibu, Shida Salim yang menghantar salah seorang daripada anaknya ke sebuah sekolah tahfiz di Rembau, Negeri Sembilan.

"Tentunya (jaminan ke syurga), semua ibu bapa berkeinginan begitu," tegas Shida yang merupakan seorang pemilik butik kepada Malaysiakini.

Katanya, beliau dan suami memilih untuk menghantar anak mereka yang berumur 16 tahun ke sekolah berkenaan kerana corak pembelajaran yang berbeza daripada sekolah kebangsaan. Malah keputusan itu juga dipersetujui anak lelaki tunggalnya itu.

"Dia (anak) tidak perlu diingatkan lagi tentang hal ibadah kerana semuanya sudah dalam tangan. Malah, sekolah tahfiz ini juga mengajar akademik. Peribadi (mereka) juga lebih terbentuk," kata ibu kepada lima orang anak ini.

Bagaimanapun Shida berkata, ibu bapa hasrus membuat semakan terlebih dahulu sebelum memilih sesebuah sekolah tahfiz dan perlu mempunyai hubungan erat dengan pihak pengurusan sekolah berkenaan.

"Pemilihan sekolah itu penting. Sekolah anak saya memang melarang keras kes buli. Hubungan kami dengan pihak sekolah juga rapat dan kami ada kumpulan 'Whatsapp'. Malah, setiap kali berjumpa kami akan kongsi cerita tentang masalah anak di sekolah," kata Shida.

Manakala, bagi Salleh Siden pula, beliau memilih untuk menghantar dua anak lelakinya ke sekolah tahfiz kerana mahu zuriatnya 'dekat dengan akhirat'.

"Sekolah kerajaan sekolah dunia, sekolah tahfiz, sekolah akhirat," kata Salleh yang merupakan seorang bekas pembantu pengarang.

Salleh anak lelakinya yang berusia 20 tahun dan 16 tahun di salah sebuah sekolah tahfiz di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Ketika diajukan soalan apakah beliau tidak bimbang dengan laporan akhbar mengenai kes buli di sekolah agama, Salleh menegaskan kesemua itu adalah ketentuan Tuhan.

"Tak adalah (bimbang), itu semua Allah jaga tapi kalau dah nak jadi nak buat macam mana, kita terimalah qada dan qadar Allah.

"Tapi, dalam kes Thaqif ini mungkin dia sendiri sudah ada penyakit lain sebab takkanlah kena rotan jadi sampai macam itu. Anak saya pun biasa kena rotan tak ada apa pun," kata Salleh.

Bagi Md Nizam yang merupakan seorang jurukamera, menghantar anak ke sekolah tahfiz adalah pendedahan awal bagi mereka memahami serta mengenali Islam.

Nizam menghantar anak lelaki dan anak perempuannya yang masing-masing berusia 20 dan 16 tahun di sekolah tahfiz di sekitar Banting, Selangor. 

"Kita nak memberikan dia pengetahuan untuk memahami serta membaca al-Quran dengan betul selain mengenali Islam dengan lebih tepat.

"Sebagai orang Islam panduan kita adalah al-Quran dan mungkin dari situ anggota keluarga saya dapat membentuk ahli keluarga yang lain ke arah yang lebih baik khususnya ke arah keagamaan," kata Nizam.

Tanpa menafikan kepentingan sekolah aliran kebangsaan, Nizam berkata ia bergantung kepada keputusan ibu bapa dalam menentukan aliran apa yang sesuai dengan anak mereka.

Ditanya mengenai kebimbangan dalam kes buli di sekolah tahfiz, Nizam berkata ia berlaku di mana-mana dan apa yang membezakannya adalah dari segi laporan media.

"Dalam soal dera, buli atau apa pun ia berlaku di mana-mana. Cuma kadang-kadang diuar-uarkan kepada media sekali gus menjadi perhatian dan seolah-olah sekolah pondok ini tak ada kualitinya," tegas Nizam.

Lihat Komen
ADS