Paling Popular
Terkini

PAS mempunyai cara mereka tersendiri untuk berdepan dengan pelbagai masalah negara seperti isu BMF dan 1MDB.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS juga komited memperjuangkan agar negara ini terus bebas rasuah serta mempunyai pentadbiran yang telus.

"PAS akan terus komited memperjuangan Malaysia yang bebas rasuah dan pentadbiran yang telus dengan cara yang membina sebagaimana yang kita tunjukkan selama ini.

"Selama puluhan tahun ini juga lah PAS telah menentang penyelewengan sumber dan dana negara dalam isu BMF, skandal matawang asing Bank Negara (forex), PKFZ, Skandal MAMINCO, Perwaja Steel, 1MDB dan lain lainnya, dengan cara kita sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-63 hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu dalam ucapannya di muktamar tersebut yang berlangsung di Alor Setar, Kedah.

Selain itu, ketika berucap, Abdul Hadi turut menyentuh mengenai sikap pihak yang bertuhankan diktator serta menolak pihak yang bertopengkan demokrasi.

'Islam tolak agamawan bertopeng agama'

Katanya, Islam juga menolak bentuk pemerintahan sama ada yang bertuhankan individu atau 'agamawan yang bertopengkan agama'.

"Islam menolak diktator yang bertuhankan pemimpin individu atau bertuhankan kelompok. Islam menolak bertuhankan rakyat tanpa hidayah yang bertopengkan demokrasi yang kononnya suara rakyat adalah suara keramat seperti tuhan yang diwarisi daripada demokrasi purba tetapi rakyat yang ditipu.

"Islam juga menolak teokrasi yang bertuhankan agamawan yang bertopengkan agama.

"Semuanya menjadikan dirinya seperti tuhan atau memilih wakil rakyat secara menipu rakyat dan menjadikan rakyat sebagai hamba.

"Islam juga menolak ideologi yang bertuhankan harta, tiba-tiba segala khazanah negara menjadi miliknya, boleh diambil dengan apa jua cara sekalipun dan mengunakannya tanpa batas sempadan halal dan haram, sama ada secara Liberal Kapitalis atau Komunis dan Sosialis," katanya.

Lihat Komen
ADS