Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PAS memperkenalkan sistem e-Undi dalam pemilihan parti itu pada muktamar tahunan ke-63 yang berlangsung di Alor Setar, Kedah.

Sebanyak 30 komputer ditempatkan di muktamar itu bagi memudahkan proses pengundian dan mengelakkan kemungkinan undi rosak.

Ini kerana sistem itu menghalang perwakilan daripada menghantar lebih daripada bilangan undi yang ditetapkan.

Oleh itu dalam pemilihan bagi tiga jawatan naib presiden, perwakilan hanya boleh menghantar tiga undi dan bukannya empat.

Begitu juga dengan 18 kerusi dalam jawatankuasa pusat PAS.

Apabila perwakilan selesai mengundi, sistem itu akan mengemas kini secara automatik keputusan pemilihan, manakala kertas undi juga dicetak untuk para perwakilan meletakkannya ke dalam kotak undi.

Keputusan bagi pemilihan parti dijangka akan diumumkan pada hari Isnin.

Terdapat empat calon bagi jawatan naib presiden iaitu penyandang Iskandar Ab Samad, Idris Ahmad dan Nik Amar Abdullah serta pencabar Nasrudin Hassan.

Seramai 26 calon termasuk bekas ketua pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz, bersaing untuk mendapatkan tempat dalam jawatankuasa pusat.

Jawatan presiden parti dan timbalan presiden masing-masing dimenangi tanpa bertanding oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Lihat Komen
ADS