Paling Popular
Terkini

Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan bercakap kosong apabila beliau menegaskan sasaran PAS untuk menguasai 40 kerusi parlimen dan menguasai sekurang-kurangnya empat negeri.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Zuhdi Marzuki, berkata kenyataan dibuat presidennya itu berdasarkan kepada beberapa asas yang kukuh dan hasil daripada kajian tertentu.

Katanya, analisis itu dijalankan kepada beberapa bentuk dan dibuat di setiap kawasan parlimen serta kerusi peringkat negeri.

"Kajian yang dibuat ialah melalui simulasi Pusat Penyelidkan dan Startegi PAS.

"Kita ada 100 lebih senario (simulasi) dan bukan dua," katanya semasa ucapan penggulungan di hari terakhir muktamar PAS hari ini.

Beberapa pihak meramalkan masa depan PAS yang gelap ekoran keengganan mereka bekerjasama dengan parti pembangkang lain dalam Pakatan Harapan.

Sebaliknya, dalam keadaan itu PAS menzahirkan keyakinan mereka untuk mencatat keputusan terbaik pada pilihan raya umum akan datang.

Malah dalam salah satu ucapan Abdul Hadi, presiden PAS itu menyatakan sasaran mereka untuk menguasai lima negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor.

Bagaimanapun Abdul Hadi pada 18 Mac lalu menafikan kenyataan berkenaan.

Untuk rekod, PAS memang pernah mentadbir Kedah, Terengganu, Perak dan Kelantan tetapi dengan kerjasama parti lain.

Bisik-bisik dengan BN

Daripada lima negeri itu, PAS hanya bertahan lama di Kelantan manakala selebihnya hanya sepenggal.

Kata Zuhdi, PAS juga tidak memandang remeh kajian institusi lain dan mereka memberikan perhatian kepada semua dapatan berkenaan.

Menurutnya dapatan kajian itu digunakan untuk PAS merangka strategi dan memenuhi keperluan parti.

Bagaimanapun, katanya, keputusan analisis atau kajian itu tidak diumumkan kepada orang lain.

"Kita tahu status kita di mana sekarang," katanya.

Sementara itu Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata semua jentara parti di peringkat negeri sudah bersedia digerakkan bagi menghadapi PRU ke-14.

Katanya, PAS negeri juga diarahkan menghantar senarai nama calon yang akan diturunkan nanti untuk dinilai di peringkat pusat.

Mengenai keadaan di Kelantan, Mustafa berkata, satu aspek yang perlu diperhatikan ialah kewujudan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan kemungkinan mereka bekerjasama dengan BN.

"Mungkin dia (AMANAH) ada senyap-senyap berbisik-bisik dengan BN. Tak ada sesiapa boleh nafikan, tak ada," katanya.

Menurut Mustafa, pada masa sama beliau juga tidak boleh mengesahkan wujud kerjasama antara AMANAH dan BN di Kelantan.

"Tapi ini kemungkinan yang mungkin berlaku pada pilihan raya itu sendiri," katanya.

Lihat Komen
ADS