Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Johor akan bentang kad laporan, kata MB
Diterbitkan:  May 2, 2017 3:31 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Kerajaan Johor akan membentangkan kad laporan bagi membolehkan rakyat menyemak dan menilai prestasi kemampuan kerajaan negeri dalam mengotakan janji.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata buat masa ini, laporan tersebut bakal siap dalam sedikit masa lagi.

"Satu daripada cara yang adil untuk menilai prestasi dan pencapaian semasa kerajaan negeri adalah dengan mengimbas kembali manifesto negeri Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

"Manifesto bertemakan 'Mensejahterakan Rakyat' tersebut merangkumi 20 perkara utama yang diperincikan melalui 84 aku janji dan kesemua aku janji tersebut telah dan sedang dalam tindakan seperti dijadualkan dan apabila laporannya siap, kami akan mengeluarkan kad laporan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama program Pemukiman Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, EXCO Awayday 2017 hari ini yang dihadiri 600 orang membabitkan pegawai jabatan kerajaan negeri, persekutuan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

EXCO Awayday merupakan acara tahunan yang diadakan sejak kerajaan Johor memperkenalkan Agenda Kepimpinan Berprestasi pada 2014 dan pada majlis itu, kesemua sembilan exco membentangkan pencapaian portfolio masing-masing.

Acara terbabit turut disiarkan secara langsung melalui akaun media sosial Facebook Menteri Besar Johor (FB Live) iaitu Datuk Seri Hj Mohamed Khaled Nordin dan saluran radio Johor FM di frekuensi 101.9 FM.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata selepas 12 suku tahun pelaksanaan Indeks Prestasi Utama (KPI) setiap EXCO, seramai sembilan EXCO mencapai skor 86 peratus pada 2014 manakala tujuh EXCO pada 2015 dan tahun lepas.

Beliau berkata pada 25 April lepas, KPI diperluaskan kepada pegawai kanan kerajaan negeri Johor dengan sebagai permulaan, seramai 57 orang ketua jabatan kalangan Pegawai Tadbir Negeri Johor diberikan KPI rasmi.

"Ini termasuk pegawai kewangan negeri, timbalan setiausaha kerajaan negeri (SUK) pembangunan dan pengurusan, pegawai daerah, pentadbir tanah daerah dan Yang Dipertua," katanya.

Mohamed Khaled dalam pada itu turut memaklumkan kerajaan Johor sudah mengumumkan sebanyak 436 titik sentuhan bajet pada empat pembentangan Bajet Johor mulai 2014 hingga 2017.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 87 titik sentuhan bajet diumum pada 2014, 104 titik sentuhan diumum pada 2015, 119 titik sentuhan diumum pada 2016 manakala 126 titik sentuhan diumum tahun ini.

Katanya, daripada 436 titik sentuhan tersebut, 199 daripadanya telah melebihi 85 peratus kemajuan berbanding sasaran tahunan.

"Sukacita saya maklumkan, bahawa status titik-titik sentuhan yang melebihi 85 peratus kemajuan berbanding sasaran tahunan iaitu 55 titik sentuhan pada 2015, 74 titik sentuhan pada 2015 dan 70 titik sentuhan pada 2016," katanya.

Beliau menegaskan , segala perkembangan, kemajuan dan pencapaian cemerlang kerajaan Johor bukan merupakan hasil tunggal mana-mana individu sebaliknya kerjasama setiap orang dalam 'Team Johor'.

"Seluruh jentera kerajaan yang berkaitan telah bekerja keras memastikan setiap titik sentuhan yang diumum dilaksanakan dengan tersusun dan mendatangkan manfaat terbaik kepada rakyat," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS