Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wartawan perlu pertahankan laporan masing-masing
Diterbitkan:  May 2, 2017 4:39 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Bekas kolumnis dan petugas media, R Nadeswaran, menggesa wartawan untuk tegas mempertahankan apa yang mereka tulis kerana peruntukan undang-undang sedia ada melindungi laporan yang baik dan bertanggungjawab.

"Wartawan patut mempertahankan apa yang mereka tulis. Saya fikir jika wartawan bertugas dalam ruang lingkup undang-undang, mereka mempunyai perlindungan yang mencukupi," katanya kepada Malaysiakini.

Pernah berkhidmat sebagai wartawan selama 45 tahun dan terkenal sebagai wartawan penyiasatan, Nadeswaran memulakan kerjanya sebagai penulis sukan di akhbar The Malay Mail.

Dia kemudian membuat laporan di meja luar negara, berita umum, ekonomi dan "segala benda".

"Dan kemudian di celah-celah itu saya mendapat ijazah undang-undang ketika berusia 47 tahun," katanya.

Nadeswaran yang sebelum ini bertugas sebagai pengarang laporan khas dan penyiasatan di theSun, percaya wartawan perlukan bukti kukuh dan sebab untuk menulis berita.

"Bukti ialah pembelaan terbaik untuk tuduhan fitnah. Gunakan kebenaran," katanya.

Nadeswaran akan memberikan syarahan mengenai kewartawanan dan undang-undang, "Bolehkah Media dan Undang-undang Wujud Bersama?" pada 6 Mei ini di sebuah forum anjuran Majlis Bar Malaysia dan Malaysiakini.

Dia merujuk kepada arahan dikeluarkan di Dewan Rakyat baru-baru ini yang melarang wartawan berada di kawasan laluan parlimen.

Arahan berkenaan mengehadkan wartawan untuk hanya berada di pusat media dan galeri media.

"Pada ketika ini kebebasan bersuara sedang tercabar. Ia menjadi alasan kuat untuk wartawan mempersiapkan diri masing-masing," katanya.

Nadeswaran yang bersara pada Disember tahun lalu, menerbitkan buku Curi-Curi Malaysia - The Stories Behind The Stories Mac lalu.

Anda dipelawa membuat tempahan tempat duduk berharga RM53 untuk mendengar syarahan daripada wartawan penyiasat kanan itu, kartunis Zunar dan Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan.

Turut berucap, penulis Sheena Gurbakhash dan peguam K Shanmuga, Choo Dee Wei dan T Sudharsanan.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Mohd Fazli Rosman atau Roslan Mahamud di talian +603-2050 2111, atau e-mel [email protected]. Program ini memberikan 5 mata CPD kepada peguam.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS