Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi: Laporan polis untuk heret saya dalam isu agama, Melayu

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa laporan polis dibuat terhadapnya atas dakwaan memfitnah mahkamah syariah adalah suatu cubaan mengheret beliau dalam isu melibatkan agama dan isu-isu berasaskan Melayu.

"Saya fikir objektifnya adalah untuk cuba mengheret dan melibatkan saya dalam isu berasaskan Melayu dan agama yang merupakan gangguan daripada (isu) besar yang kami lakukan," kata Rafizi kepada pemberita di Sungai Besi hari ini.

Awal hari ini, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Mahamad Ibrahim dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab membuat laporan polis berasingan terhadap Rafizi.

Mereka mendakwa Rafizi melakukan fitnah terhadap mahkamah syariah semasa sesi "parlimen olok-olok" oleh ahli parlimen Pakatan Harapan pada 10 April lalu bagi membahaskan rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Dalam perbahasan itu, Rafizi berkata, tumpuan untuk menaikkan had hukuman mahkamah syariah tanpa melibatkan kenaikan gaji hakim boleh membuka ruang kepada rasuah.

Beliau juga mendakwa jumlah hakim mahkamah syariah yang terlibat dengan rasuah adalah lebih tinggi berbanding hakim mahkamah sivil.

Rafizi berkata, beliau akan menunggu langkah seterusnya daripada pihak berkuasa susulan laporan yang dibuat dan bersedia untuk menjawab perkara itu di mahkamah.

"Saya mempunyai hujah yang akan saya bentang di mahkamah apabila sampai waktu itu," katanya.

Enggan komen pasal Adam

Mengenai isu berasingan, Rafizi enggan mengulas terhadap kenyataan Ketua Pemuda PKR Ampang, Adam Rosly Abdullah yang didakwa memberikan kenyataan dan dokumen palsu berkaitan hartanya.

"Saya tak fikir saya perlu menumpukan banyak perhatian kepada Adam kerana jika saya memberi perhatian kata-kata kecewa ketua pemuda cabang itu, saya perlu jawab lagi 50 orang setiap hari.

"Ia perkara biasa bila orang dalam parti kamu mempunyai pendapat yang berbeza tentang perkara yang berbeza. Saya tak fikir saya perlu melayan semua itu," katanya.

Adam mendakwa Rafizi didorong oleh "agenda yang tidak wajar" berkenaan kenyataan terhadap kesnya.

Rafizi sebelum ini mencadangkan Adam direhatkan daripada parti itu bagi membantu PKR menjauhkan diri daripada isu tersebut.

Beliau hari ini berkata, isu membabitkan Adam akan dikendalikan secara dalaman oleh parti.

"Saya fikir PKR telah memberi respon dengan pantas untuk memberikan laluan kepadanya.

"Adalah penting untuk dia keluar dari jalan itu dan oleh itu, ia juga bermakna adalah penting untuk mengabaikannya," kata Rafizi.

Lihat Komen
ADS