Pemuda AMANAH beri Najib 10 hari

   

Pemuda AMANAH memberikan tempoh 10 hari kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menjelaskan penyelesaian yang dicapai antara 1MDB dan IPIC selepas proses timbangtara.

Diketuai timbalan ketua pemudanya, Faiz Fadzil, pergerakan itu menyampaikan memorandum lima muka surat di pejabat perdana menteri di Putrajaya hari ini.

Selepas menyerahkannya kepada pembantu perdana menteri, Nik Mohd Hussin, mereka berjanji untuk turut mengemukakan memorandum sama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan Majlis Raja-Raja,sekiranya tiada jawapan.

Faiz, yang juga seorang peguam, berkata mereka menuntut jawapan mengenai isu penyelesaian tersebut yang menunjukkan sejumlah AS$3.5 billion dibayar secara curang kepada Aabar Investments PJS Ltd (Aabar BVI).

Sayap parti AMANAH itu menimbulkan lima soalan berikut:

1) Adakah terma-terma penyelesaian tuntutan arbitrasi ini dibuat atas arahan, sokongan, dorongan atau persetujuan YAB Datuk Seri selaku perdana menteri?

(2) Jika benar jumlah penyelesaian tuntutan arbitrasi dibuat melalui penjualan unit pelaburan 1MDB bernama Brazen Sky Ltd dan 1MDB Global Investment Ltd, siapakah pembeli, tarikh jual-beli dan lain-lain butiran terma jual-beli unit tersebut?

(3) Adakah wang rakyat selaku pembayar cukai akan digunakan bagi membayar kedua-dua bon yang akan matang pada tahun 2022 memandangkan nilai unit pelaburan 1MDB bernama Brazen Sky Ltd (AS$940 million) dan 1MDB Global Investment Ltd (AS$1.5 billion) seperti yang didakwa adalah tidak mencukupi?

(4) Insitusi dana awam manakah yang akan digunakan bagi membayar jumlah penyelesaian tuntutan arbitrasi ini yang dianggarkan berjumlah RM26.5 billion?

(5) Apakah tindakan undang-undang yang akan diambil oleh Kerajaan Malaysia bagi mendapatkan kembali jumlah USD3.5 billion yang dibayar secara curang/fraud salah oleh 1MDB dan terhadap individu-individu yang berkonspirasi melakukan jenayah penyelewengan dana 1MDB dan pengubahan wang haram?

Pemuda AMANAH berkata sikap berdiam diri Najib selama ini berkaitan skandal 1MDB tidak mencerminkan kebertanggungjawaban beliau selaku perdana menteri yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

"Justeru, penjelasan awam yang positif, konkrit dan kredibel harus diberikan oleh YAB Datuk Seri dalam tempoh terdekat di atas segala persoalan yang dibangkitkan di atas," katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui wang yang telah dibelanjakan oleh kerajaan.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda