Arul Kanda janjikan pengumuman penting 1MDB

   

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy memberi jaminan kepada ahli parlimen BN bahawa satu pengumuman penting akan dibuat tidak lama lagi, yang membuktikan kejayaan 1MDB dalam menangani semua masalah firma pelaburan negara itu.

Menurut portal Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), beliau menyampaikan jaminan itu, semasa taklimat yang diadakan untuk ahli parlimen BN semalam.

Portal itu melaporkan Arul Kanda turut menyentuh mengenai soalan ahli parlimen DAP Tony Pua yang ingin tahu sama ada Kementerian Kewangan akan terpaksa menggunakan dananya sekiranya 1MDB tidak dapat membayar balik hutangnya.

Pua, semalam dilaporkan menyoal berikutan pembatalan perjanjian Bandar Malaysia, apakah 1MDB perlu membayar balik deposit RM741 juta yang diterima daripada konsortium usaha sama IWH-CREC.

Selain isu Bandar Malaysia, Arul dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan turut memberi taklimat kepada ahli parlimen BN berhubung pada penyelesaian kes timbang tara antara 1MDB dan International Petroleum Investment Corporation (IPIC).

Portal itu berkata Abdul Rahman juga menyampaikan rasa berterima kasih Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada ahli parlimen BN untuk sokongan tidak berbelah bahagi mereka meskipun ditentang hebat oleh pembangkang berhubung isu berkenaan.

Menteri itu berkata, di sebalik kekangan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh 1MDB, sokongan daripada wakil rakyat BN itu membuatkan kerajaan bertahan dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku 1MDB.

Abdul Rahman berkata Tun Dr Mahathir Mohamad mula bersekongkol dengan pembangkang melancarkan serangan peribadi terhadap Najib, termasuk dakwaan pembelian cincin yang dimiliki oleh isteri perdana menteri.

Namun apabila strategi itu gagal, katanya, Mahathir menjadikan isu 1MDB sebagai sasarannya.

“Mahathir menggunakan satu isu yang susah difahami namun senang dipercayai iaitu 1MDB. Ia bermula pada Oktober November 2014 kerana waktu itu 1MDB akan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) dengan mendapatkan dana daripada pasaran saham melalui hutang dari 1MDB.

“Mahathir bersekongkol dengan media, sehinggakan 1MDB tak dapat memulihkan kerosakan yang ada.

“Jadi kita dah tahu 1MDB ada masalah sehinggakan IPO tak jadi, bank pun tak mahu uruskan, penjualan aset dengan Tabung Haji pun tak jadi, apa lagi usaha yang kita ada?” katanya.

Namun, kata Abdul Rahman, hasil sokongan ahli parlimen BN, Umno dan dengan Arul Kanda, akhirnya 1MDB akan berjaya diselesaikan dengan baik.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda