Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: KDN bersama SPRM banteras rasuah penguat kuasa

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan badan penguatkuasa yang didapati melindungi aktiviti perjudian dan pelacuran.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata KDN akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras jenayah rasuah membabitkan penguat kuasa terbabit.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang mendedahkan pihaknya mempunyai bukti terdapat penguat kuasa di negeri di selatan tanah air melindungi sindiket judi dan pelacuran dengan bayaran RM 1.2 juta sebulan.

Dzulkifli berkata bukti berbentuk dokumen itu ditemukan pihaknya ketika melakukan operasi di negeri terlibat baru-baru ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata KDN menyokong dan akan memberikan segala bantuan kepada SPRM dalam menghapuskan kegiatan berkenaan.

"Jika ini benar..PDRM (polis) & KDN akan pasti beri kerjasama dengan pihak SPRM dan menyokong tindakan-tindakan yang dilakukan pihak SPRM", kata Ahmad Zahid yang sedang dalam lawatan kerja di Australia ketika ditemui media Malaysia di Canberra hari ini. -Bernama

Lihat Komen
ADS