Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Sidang media salah satu keluarga tahanan Turki, Ihsan Aslan, yang dikaitkan dengan dakwaan keganasan hari ini berlangsung dengan penuh emosi apabila isteri suspek, Ainnurul Aisyah Yunos, menitiskan air matanya beberapa kali di depan wartawan.

Menceritakan pengalamannya sejak Ihsan ditahan, Ainnurul Aisyah berkata, kesan paling ketara dilihat pada ketiga-tiga anaknya yang masing-masing berusia 10, enam dan dua tahun.

Kini, kata Ainnurul Aisyah, mereka kelihatan sentiasa murung malah paling membimbangkan ialah anak sulungnya, Muhammad Rafael yang menghidap autisme dan tidak mampu bertutur seperti orang normal.

“Mereka (anak-anak) nampak lain sangat, rindukan babah (Ihsan) terutamanya yang paling tua kerana tak boleh bercakap.

“Bila dia sedih sangat dia tunjuk perasaan. Dia dengan sikap agresif, dia akan pukul muka, dia akan gigit diri dia, badan dia," katanya sambil memeluk dan mencium anak sulungnya itu.

Ainnurul Aisyah mengadakan sidang media di sebuah restoran di Ara Damansara, Selangor hari ini, bagi merayu supaya suaminya dibebaskan, atau sekurang-kurangnya tidak dihantar ke Turki.

Ihsan ditahan bersama seorang lagi lelaki Turki, Turgay Karaman, yang disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, terlibat dalam aktiviti mengancam keselamatan negara.

Mungkin jumpa Khamis

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dilaporkan berkata, kedua-dua tahanan disiasat atas kaitan mereka dengan pengganas IS.

Ainnurul Aisyah, 35, berkata apabila waktu malam Muhammad Rafael akan duduk di tepi tingkap dan berterusan begitu sehingga tertidur di atas sofa.

"Dia tak boleh jelaskan apa yang dia rasa, tapi saya faham perasaan dia," katanya.

Untuk mengubati keadaan itu, Ainnurul Aisyah terpaksa memikirkan cerita-cerita rekaan untuk mengalihkan perhatian anak-anaknya daripada terkenangkan bapa mereka.

“Ada yang bertanya, babah pergi mana. Saya cakap, babah pergi kerja, tapi dia akan tanya lagi: Kenapa babah tak telefon, biasanya babah telefon.

"Saya cuma dapat kata, babah sibuk sangat, babah di luar negara dan akan balik lagi seminggu. Lepas itu anak saya akan menangis," katanya.

“Saya terpaksa bagi satu cerita, babah ada diluar negara akan balik lagi seminggu,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Sementara itu Ainnurul Aisyah berkata, dia sudah menghantar surat rayuan kepada polis untuk mendapatkan izin bertemu Ihsan.

Katanya, pertemuan itu mungkin akan berlangsung Khamis ini.

“Sampai sekarang saya diberitahu dia ditahan di bawah Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012) di Bukit Aman.

“Saya dibenarkan jumpa suami saya selepas 48 jam dan mereka kata saya harus tunggu sampai Khamis, itu pun kena buat rayuan. Jadi, saya minta jasa baik polis untuk lepaskan suami saya,” katanya sambil menyeka air mata.

Lihat Komen
ADS