Paling Popular
Terkini

Ahli politik liberal Moon Jae-in memenangi pilihan raya presiden Korea Selatan semalam, rangkaian televisyen mengumumkan.

Ia merupakan satu kemenangan yang sudah dijangkakan dan mengakhiri hampir satu dekad pemerintahan konservatif dan membawa kepada pendekatan yang lebih menenteramkan terhadap Korea Utara.

Kemenangan Moon akan mengakhiri berbulan-bulan lamanya kegawatan politik yang membawa kepada pemecatan kbekas presiden konservatif Park Geun-hye ekoran skandal rasuah.

Park merupakan pemimpin pertama yang dipilih secara demokratik yang dipecat daripada jawatannya, yang membawa kepada pilihan raya bagi memilih penggantinya.

Pilihan raya itu menjadi tumpuan negara luar ketika memuncaknya ketegangan dengan Korea Utara, yang dipercayai sedang membuat persediaan untuk ujian nuklear keenam dan sedang membangunkan peluru berpandu nuklear yang mampu menyasarkan Amerika Syarikat, yang mungkin menjadi isu keselamatan yang mendesak mendepani presiden Amerika Donald Trump.

Advokasi penglibatan Moon dengan Korea Utara berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh Amerika Syarikat, sekutu utama Korea Selatan, yang sedang berusaha untuk meningkatkan tekanan ke atas Pyongyang melalui pengasingan lanjut dan sekatan.

Rumah Putih bagaimanapun cepat mengucapkan tahniah kepada Moon, dengan berkata ia berharap dapat bekerjasama dengan beliau bagi mengukuhkan pakatan sekian lama antara Kores Selatan dan AS.

Dalam ucapan kemenangannya dari pentas di dataran utama di Seoul, Moon, bekas peguam hak asasi manusia berusia 64 tahun, yang menyertai politik hanya lima tahun yang lalu, berikrar untuk membawa era baru bagi negara yang teruk dilanda skandal tersebut.

"Saya akan wujudkan sebuah negara yang adil dan bersatu. Saya akan menjadi seorang presiden yang berkhidmat kepada semua rakyat, juga mereka yang tidak menyokong saya."

Dengan 80 peratus undi dikira pada 1705 GMT, Moon mendahului dengan 40 peratus, demikian menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan.

Beliau diikuti oleh seorang pencabar konservatif, bekas pendakwa Hong Joon-pyo, dengan 25.5 peratus dan Ahn Cheol-soo dengan 21.4 peratus. [Baca berita penuh]

- Reuters
 

Lihat Komen
ADS