Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia maju: Siapa makin kaya, siapa terus miskin

ULASAN l Kajian mendapati 34.8 peratus daripada pendapatan keseluruhan Malaysia diagihkan kepada golongan pekerja di negara ini manakala bakinya, lebih 65 peratus mengalir ke poket golongan korporat dan kerajaan (melalui cukai).

Di sebalik pendedahan tersebut, Jabatan Perangkaan melaporkan, jumlah pekerja di Malaysia setakat bulan Oktober 2016 berjumlah 14.77 juta orang dengan majoritinya merupakan lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan ke bawah.

Secara logiknya, ia membawa maksud bahawa peratusan kecil daripada pendapatan negara ini dikongsi oleh sebilangan besar rakyat negara ini dengan para majikan serta kerajaan 'menikmati' bahagian kek yang lebih besar walaupun bilangannya sangat sedikit.

Di samping itu, bagi mereka yang berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading pula, gaji permulaan di kalangan graduan adalah rendah dengan purata gaji sekitar RM2,200 walaupun ramai meminta lebih daripada RM3,000.

Persaingan tempatan dan asing

Ekoran tawaran gaji sedemikian, menurut Jobstreet, ia menjadi salah satu sebab kepada penghijrahan rakyat berkemahiran tinggi ke luar negara di Malaysia selain menyebabkan lebih 20,000 graduan menganggur di pasaran pada masa ini.

Lebih dari itu, tenaga kerja tempatan terpaksa bersaing dengan 6 juta pekerja asing yang sebahagian besarnya adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan majikan pastinya memberi 'keutamaan' kepada pekerja asing.

Ini kerana pekerja asing sanggup menerima gaji lebih rendah, tidak merungut mengenai hak-hak sebagai pekerja, sanggup bekerja bila-bila masa diperlukan, tidak banyak karenah terutama dalam hal cuti perayaan mahupun kenaikan gaji tahunan dan sebagainya.

Justeru, dengan 90 peratus pendapatan isi rumah di negara Malaysia bersumberkan gaji dan hasil perniagaan peribadi yang masih begitu kecil bilangannya, persekitaran ekonomi menjadi semakin mencabar dengan lonjakan kos sara hidup yang menyaksikan kadar inflasi melonjak ke paras 5.1 peratus pada bulan Mac yang lalu.

Masalah gaji di Malaysia

Keadaan ini sekaligus membuktikan wujudnya masalah penggajian di Malaysia dengan hakikat semasa menunjukkan sebahagian besar kek ekonomi negara dibolot oleh pihak majikan dan kerajaan.

Majikan mampu berbuat demikian mungkin kerana berjaya menyekat kemaraan kesatuan sekerja atau bertindak tidak membenarkan wujudnya kesatuan di tempat kerja manakala kerajaan pula boleh mengenakan pelbagai jenis cukai termasuk GST atas nama membangunkan negara.

Jika keadaan ini berterusan, jurang pendapatan antara golongan yang berpendapatan rendah dan mereka yang bergaji tinggi akan semakin lebar yang menjurus kepada golongan berpendapatan sederhana yang semakin mengecil.

Apabila keadaan seperti itu berlaku, Malaysia semakin terjerumus kepada fenomena golongan kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin seperti yang pernah terjadi di Great Britain dan dialami oleh India, Indonesia, China dan banyak lagi.

Walaupun Malaysia diwar-warkan menjadi antara negara berpendapatan tinggi dalam masa beberapa tahun lagi, namun hakikatnya, pendapatan boleh dibelanjakan oleh rakyat semakin berkurangan.

Ini dibuktikan oleh kemampuan rakyat untuk membeli kediaman sendiri setelah gaji bulanan yang diterima tidak meningkat sejajar dengan kadar inflasi ke atas barangan harian dan lonjakan harga rumah semasa terutama teres.



Keadaan ini sejajar dengan penemuan kajian oleh HSBC Holdings plc, London baru-baru ini yang mendapati 93 peratus rakyat Malaysia masih tidak memiliki rumah sendiri.

Kos sara hidup tempatan

Selain itu, kos pendidikan yang semakin mahal akan menyekat lebih ramai golongan muda untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sekurang-kurangnya sarjana muda dan hanya mampu memulakan kehidupan dengan gaji setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Seterusnya, apabila golongan ini meningkat dewasa dan mempunyai keluarga sendiri, mereka terus dibebani dengan lonjakan harga barang secara tidak terkawal ekoran pelaksanaan sistem apungan petrol dan diesel secara mingguan yang mengalami trend turun dan naik.

Yang 'menariknya' mengenai sistem apungan tersebut ialah apabila harga minyak naik, ia akan diikuti dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tetapi apabila harga bahan api turun, ia tidak pula disusuli dengan penurunan harga barangan.

Ia menjurus kepada kenaikan harga barangan secara mingguan jika harga minyak naik tetapi tidak pula mengalami penurunan harga bagi barangan jika harga petrol dan diesel menurun.

Ini terbukti benar jika melihat pengakuan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebelum ini yang mengakui kadar inflasi bulan Mac 2017 meledak kepada 5.1 peratus, tertinggi dalam tempoh lapan tahun disebabkan kesan daripada harga bahan api.

Namun begitu, Johari juga dilaporkan sebagai berkata, kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa kerana amat bergantung kepada pergerakan harga minyak global.

Itu belum termasuk kos-kos bulanan lain seperti pembayaran ansuran bulanan kenderaan yang dibeli, bil utiliti termasuk talian telefon bimbit dan internet, premium insurans jika ada dan banyak lagi yang telah menjadi keperluan asas kepada standard masyarakat hari ini.

Definisi pendapatan tinggi

Justeru, definisi negara berpendapatan tinggi itu menimbulkan banyak persoalan dan keraguan kerana ramai yang mula bertanya siapa yang bakal menikmati hasil dari peningkatan dalam pendapatan ini.

Apakah gaji rakyat yang menjadi semakin banyak atau kekayaan penguasa yang semakin menimbun atau majikan yang semakin mewah dalam perbelanjaan mereka termasuk tuntutan dan elaun seperti kediaman percuma, tuntutan pembelian petrol dan sebagainya.

Mahu atau tidak, negara memerlukan proses reformasi sistem penggajian yang menyeluruh agar rakyat negara ini boleh menarik nafas lega dalam membayangkan kehidupan di hari tua mereka dan masa depan yang bakal ditempuhi oleh anak cucu mereka.

Sudah tiba masanya untuk negara bergerak kehadapan dalam mendahulukan rakyat dalam soal pendapatan negara dan bukan mendahulukan kerajaan atau majikan terlebih dahulu dalam perkongsian kek ekonomi Malaysia.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS