Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kaji selidik: PAS lebih popular dari BN tahun lepas

Kajian yang dijalankan oleh beberapa anggota pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendapati PAS menjadi parti paling popular pada pertengahan tahun lepas, malah mengatasi popularti BN.

Kaji selidik ke atas 3,000 responden itu mendapati 44.4 peratus menyatakan sokongan kepada PAS, berbanding 36.2 peratus kepada BN dan 25.9 peratus terhadap PKR.

Sementara itu, 16.7 peratus berkata mereka menentang PAS berbanding BN dan PKR yang masing-masing menerima tentangan daripada 27.2 peratus responden. Baki selebihnya berkata mereka tidak pasti.

Bagaimanapun, kajian itu juga mendapati pemimpin yang mengetuai BERSATU menjadi pilihan utama bagi jawatan perdana menteri.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih digemari untuk jawatan perdana menteri dengan sokongan 37.3 peratus daripada responden, diikuti pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad (35.9 peratus) dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (34.3 peratus).

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin keenam paling popular dengan 27.0 peratus sokongan, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di tangga kesembilan paling popular (20.0 peratus) dengan sebahagian besar daripada responden (52.0 peratus) menentang beliau.

Di kalangan pemimpin BN, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein (26.4 peratus) adalah lebih popular daripada Najib dan juga Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (23.3 peratus).

Hanya 15.2 peratus responden bersetuju dengan kenyataan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi harus menjadi perdana menteri.

Ini meletakkan kedudukan Zahid di bawah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang (15.9 peratus), Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali (17.2 peratus) dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (17.6 peratus).

Sementara itu, 38.1 peratus responden bersetuju bahawa Umno perlu bekerjasama dengan PAS dan 32.6 peratus juga bersetuju bahawa kedua-dua parti perlu bergabung.

Apabila ditanya sama ada MIC atau MCA perlu keluar BN, hanya kira-kira 20 peratus daripada responden bersetuju dengan pernyataan tersebut.

Kajian itu dijalankan pada bulan Julai dan Ogos tahun lepas, meliputi sampel yang mewakili 30 kawasan parlimen di seluruh Malaysia.

Ia didahului oleh beberapa siri fokus perbincangan kumpulan dan kajian awal yang bermula pada bulan April tahun yang sama. Hasil kaji seldiik itu telah disampaikan oleh Ketua Biro Dasar dan Strategi BERSATU, Datuk Rais Hussin pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata sembilan pensyarah universiti turut membantu dalam menjalankan kajian ini dan telah diberitahu untuk membongkar "kebenaran kejam" bagi mengumpul maklumat yang tepat kepada strategi pilihan raya BERSATU.

Satu kajian susulan akan dijalankan pada bulan Ramadan yang akan datang.

Mengenai PAS pula, sebanyak 38.4 peratus daripada responden berkata parti Islam itu perlu meletakkan ulama sebagai calon pilihan raya, berbanding 14.5 peratus yang tidak bersetuju.

Apabila ditanya sama ada pelaksanaan hudud seharusnya berada di dalam manifesto pilihan raya PAS, 35.2 peratus bersetuju manakala 17.6 peratus tidak bersetuju.

Hanya 14.8 peratus bersetuju bahawa PAS perlu menyertai Pakatan Harapan, berbanding 29.5 peratus yang merasakan parti itu perlu berjuang bersendirian.

Lihat Komen
ADS