Paling Popular
Terkini
story images
story images

Bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, menuntut ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon maaf secara terbuka kerana mengucapkan tahniah kepada Umno hari ini.

Selain itu Khairuddin juga mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad menarik balik kenyataan agensi antirasuah berkenaan.

Katanya, tindakan SPRM itu dianggap "bodoh, tidak beretika dan tidak bermoral".

Menegaskan bahawa sebagai institusi awam, SPRM tidak boleh dilihat berpihak dan agensi itu tidak wajar membuat kenyataan politik.

"Kenapa tak ucap tahniah juga kepada Tony Pua, Rafizi Ramli dan Lim Kit Siang yang banyak mendedahkan skandal rasuah sebelum ini?" katanya hari ini.

Khairuddin merujuk kepada tiga pemimpin pembangkang yang banyak membuat kenyataan atau pendedahan mengenai dakwaan rasuah melibatkan pemimpin kerajaan.

Mereka masing-masing ialah Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Pandan dan Ipoh Timur.

Pagi tadi, SPRM mengeluarkan kenyataan media mengucapkan selamat ulang tahun kepada Umno yang meraikan penubuhannya yang ke-71.

Parti itu akan mengadakan sambutan besar-besaran di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dianggarkan 140,000 anggota dan penyokong Umno akan menghadirinya. Acara sambutan itu turut dimeriahkan tawaran cabutan bertuah yang menawarkan hadiah lumayan.

Condong kepada kerajaan

Menurut SPRM, pemimpin Umno perlu memastikan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan rakyat kepada mereka, dilaksanakan dengan penuh berintegriti, serta menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan rasuah serta salah guna kuasa.

SPRM turut mengajak Umno menyertai mereka dalam gerakan memerangi rasuah.

Khairuddin menambah, kenyataan SPRM kepada Umno itu menjejaskan integriti pasukan beruniform seperti badan berkenaan.

Beliau yang kini menjadi seorang daripada pemimpin Parti Generasi Baru menjelaskan, kenyataan SPRM itu dibuat ketika banyak laporan mengenai skandal 1MDB dibuat namun tiada tindakan diambil terhadapnya.

Justeru, katanya, SPRM wajar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat.

"Kalau tak berani, maknanya sahlah SPRM menjadi barua Umno," katanya.

Sementara itu peguam Khairuddin, Haniff Khatri Abdulla, juga berpendapat pasukan keselamatan tidak boleh dilihat memihak kepada mana-mana kumpulan.

Katanya, Dzulkifli seharusnya berkhidmat kepada rakyat dan bukan parti politik kerana langkah itu hanya akan memalukan SPRM.

Katanya, mesej berkenaan boleh dibuat atas kapasiti peribadi dan bukannya menggunakan agensi antirasuah yang diketuainya.

"Jika ketua pesuruhjaya SPRM tidak menarik balik kenyataan berkenaan ia menunjukkan agensi itu cenderung kepada kerajaan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS