Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Universiti Teknologi Mara (UiTM) menafikan memperalatkan mahasiswanya untuk turun ke Stadium Bukit Jalil di Kuala Lumpur malam ini, sempena ulang tahun Umno ke-71.

Menurut anggota lembaga pengarah UiTM Datuk Irmohizam Ibrahim dakwaan tersebut merupakan “fitnah” yang boleh mencemarkan nama institusi itu.

"Sebenarnya saya tak ada maklumat mengenai perkara ini.

"Saya rasa ini satu tuduhan dan dakwaan yang tidak bertanggungjawab yang boleh mencemarkan imej dan nama baik UiTM," katanya yang juga anggota parlimen Kuala Selangor kepada Malaysiakini.

Pemuda PKR dan DAP hari ini menuduh Umno menggerakkan mahasiswa UiTM untuk hadir ulang tahun Umno ke-71.

Mereka menyebarkan rakaman skrin di kumpulan WhatsApp berkaitan mahasiswa UiTM bagi membuktikan dakwaan itu.

Naib Ketua Pemuda PKR Afif Bahardin mendakwa Umno "menipu" pelajar-pelajar dengan berkata program itu sebagai "Program Sukarelawan Patriotisme".

Pengarah Hal Ehwal Universiti DAPSY Leong Yu Sheng pula berkata kepimpinan UiTM telah melanggar integriti dan etika akademik dengan langkah itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa juga menafikan dakwaan tersebut, dengan berkata sambutan malam ini adalah "terbuka" kepada sesiapa yang berminat untuk hadir.

Pengunjung ke acara hari ini berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah termasuk kereta yang semuanya berjumlah hampir RM1 juta.

Acara kemuncak bagi sambutan itu adalah amanat presiden Umno, yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang hala tuju parti, terutamanya dalam menghadapi cabaran pilihan raya umum akan datang.

Lihat Komen
ADS