Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR tolak tohmahan PAS, akan nyata pendirian
Diterbitkan:  May 11, 2017 11:43 PM
Dikemaskini: 3:45 PM

PKR kesal dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS hari ini yang bertindak memutuskan tahaluf siyasi antara kedua-dua parti.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menghormati keputusan tersebut atas kebebasan PAS untuk membuat suatu pendirian politik.

"PKR menzahirkan kekesalan terhadap keputusan yang dibuat oleh badan tertinggi PAS iaitu Majlis Syura Ulama namun menghormatinya atas kebebasan PAS membuat suatu pendirian politik.

"Pada masa yang sama, PKR menolak tohmahan Majlis Syura Ulama PAS bahawa PKR menentang agenda Islam, melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik dan khianat dalam hubungan politik dengan PAS," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Majlis Syura Ulama menerima usul dibawa dalam muktamar parti itu baru-baru ini bagi memutuskan bahawa tahaluf siyasi mereka dengan PKR terbatal, umum setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh petang tadi.

"Majlis Syura Ulama memutuskan bahawa dengan merujuk begitu banyak pelanggaran syarat tahaluf siyasi, maka hubungan politik telah terbatal," katanya.

Beliau berkata keputusan itu dibuat dengan merujuk kepada begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.

Antaranya, kata Nik Muhammad Zawawi, tindakan PKR tidak menyokong - malah menentang - sebahagian daripada agenda Islam dibawa PAS.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, rekod menunjukkan PKR kekal sebagai sebuah parti pelbagai kaum, komited memperjuangkan agenda rakyat dan membanteras rasuah dan penyelewengan

PKR juga akan terus mendedahkan salah urus dan tatakelola pemerintah dan teguh memupuk dan memelihara kerjasama akrab dan solidariti sesama rakan-rakan pembangkang, tambahnya.

"Pimpinan PKR akan segera berbincang dan mengambil pendirian terhadap keputusan Majlis Syura Ulama PAS," jelas beliau lagi.

Lihat Komen
ADS