Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ada siswa mengaku dikerah ke acara Umno cara 'kotor'

Semalam merupakan ulang tahun Umno yang ke-71. Dalam ribuan hadirin yang menghadiri upacara penuh bersejarah itu, siapa sangka ada hati yang terluka.

Itulah yang dihadapi oleh sesetengah mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pada awalnya didakwa dimaklumkan mereka diwajibkan hadir ke “Program Sukarelawan Patriotisme Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Seawal jam 10 pagi sebanyak 110 buah bas dengan ke muatan 44 orang mahasiswa mereka bergerak ke Bukit Jalil secara berperingkat, namun setibanya di situ, tiada program seperti yang dimaklumkan sebaliknya ia adalah sambutan ulang tahun Umno yang ke-71.

Menurut mahasiswa yang hanya mahu dikenali sebagai Syafiq, UiTM mewajibkan mahasiswa yang mengikuti kelas kokurikulum untuk menghadiri program itu dan sekiranya ingkar, mereka akan diambil tindakan.

“Pihak UiTM kata ini program sukarelawan tapi kami kena tipu. kami datang dari pagi lagi duduk bawah pokok, dah dua kali periksa darah dan sekarang duduk balik bawah pokok.

“Sekarang ni dah letih sangat, tak tahu nak buat apa-apa dah sekarang ni,” katanya kepada Malaysiakini.

Seorang anggota lembaga pengarah UiTM Datuk Irmohizam Ibrahim menyifatkan dakwaan itu sebagai “fitnah” yang boleh mencemarkan nama institusi itu.

Sementara Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa juga dilapor menafikan dakwaan itu, dengan berkata sambutan malam tadi "terbuka" kepada sesiapa yang berminat.

Ia bagaimanapun selari dengan dakwaan Pemuda PKR dan Pemuda DAP yang mendedahkan dakwaan rakaman skrin WhatsApp dan surat menyurat berkaitan.

Kesemua mahasiswa yang ditemui Malaysiakini semalam enggan nama penuh mereka disiarkan.

'Kami ada parti sendiri'

Mahasiswa yang mahu dikenali sebagai Razak pula mempersoalkan mengapa kerajaan sebelum ini melaungkan mahasiswa tidak boleh terlibat dengan politik namun bertindak sebaliknya.

“Sudahlah macam program yang dia kata pada awalnya itu tak ada. Saya rasa program hari ni kurang sesuai, sebab kerajaan kata pelajar tak boleh terlibat dengan politik tapi ini dah lain dah ni,” katanya.

Bagi Ismail, UiTM tidak boleh memaksa pelajar yang sudah berusia 21 tahun ke atas ke program Umno memandangkan mereka sudah boleh mengundi.

“Kami dah berusia 21 tahun, tak bolehlah paksa macam ini. Kami pun ada parti yang kami pilih dan lebih-lebih lagi undi ini rahsia,” kesalnya.

Namun lain pula yang dihadapi oleh pelajar sebuah kolej apabila mereka pada awalnya hanya diberitahu untuk hadir ke program “Kadet Pispa” dalam program sukarelawan bersama menteri.

Menurut pelajar yang mahu dikenali sebagai Faiz, beliau dan rakan-rakannya tidak menyangka akan dikerah ke program ulang tahun Umno.

Katanya, ketika dalam perjalanan ke Bukit Jalil hari ini, seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai urus setia majlis ulang tahun Umno ke-71 tiba-tiba memberi baju parti yang berwarna merah untuk dipakai.

Malah lelaki tersebut turut mengingatkan semua pelajar supaya tidak mengambil gambar dengan memakai baju Umno serta memuat naiknya di laman sosial.

“Pada awalnya dia kata datang program lain, tapi rupanya program Umno. Kami dari pagi lagi ini, penat sangat dah dan tak tahu dah nak pergi mana, kalau tahu program macam ini kami tak datang,” katanya yang mendakwa dibekalkan wang sebanyak RM10 setiap seorang.

Pelajar tahfiz baca Yasin

Selain mahasiswa turut kelihatan juga pelajar tahfiz yang berusia dalam lingkungan 13 tahun yang turut diawasi oleh gurunya.

Menurut Ketua warden Sekolah Tahfiz Imtiyaz Ulul Albab Alor Gajah Melaka, Anuar Ismail kedatangan seramai 230 pelajarnya yang berusia 13,14 dan 16 tahun itu sekadar menghadiri undangan dari Rimbalan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, mereka dipanggil untuk membacakan Yasin sempena Nisfu Syaban dan menafikan terlibat dengan politik.

“Kita tak terlibat dengan politik, kita datang untuk baca yasin sebab Nisfu Syaban. Bagi saya kita tak boleh campur aduk politik, ini jemputan Datuk Seri Ahmad Zahid nak sambut Nisfu Syaban,” katanya yang menambah tidak memaklumkan kepada ibu bapa pelajar itu.

Mengikut tinjauan Malaysiakini, pelajar-pelajar ini hanya duduk berkeliaran sejak tengah hari tadi sebelum menunggu kedatangan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Pengunjung ke acara itu berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah termasuk kereta yang semuanya berjumlah hampir RM1 juta.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Umno berkaitan perkara ini.

 

UiTM: Fitnah, Umno tak peralat siswa

Lihat Komen
ADS