Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 9 Jun depan bagi keputusan kes rayuan hukuman anggota parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Hakim Datuk Ghazali Cha menetapkan tarikh itu bagi pihak pembelaan mengemukakan hujahan bertulis berhubung dakwaan naib presiden PKR itu dengan sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan anggota Umno.

Januari tahun lalu, Rafizi didenda RM1,800 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan anggota Umno melalui artikel pada Februari 2014.

Mahkamah juga turut memerintahkan Rafizi menjalani hukuman penjara 10 bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Rafizi didakwa dengan sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan ahli Umno melalui artikel bertajuk “Will Rafizi quit if Selangor is not toppled?” dengan niat memecahkan keamanan awam.

Rafizi dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat The Edge Malaysia Communications Sdn Bhd, Menara KLK, Jalan PJU 7/6, Mutiara Damansara, jam 11.40 pagi, pada 4 Februari 2014.

Sementara itu, peguam yang mewakili Rafizi, Gobind Sigh Deo berkata tarikh tersebut diperoleh selepas Jabatan Peguam Negara menolak representasi anak guamnya.

"Pada tarikh yang lalu kami memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan telah pun menulis satu surat kepada peguam megara masukkan representasi berkenaan dengan kes ini.

“Kami hanya diberikan maklum balas semalam melalui surat Jabatan Peguam Negara dan oleh itu pihak mahkamah hari ini menetapkan masa untuk kami masukkan hujahan bertulis dan menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh keputusan dalam kes ini.

"Representasi kami telah pun ditolak oleh pihak peguam negara dan kami kena teruskanlah dengan rayuan ini dan seperti mana saya sebutkan dalam mahkamah sebentar tadi, kes ini kita akan masukkan hujahan bertulis dan sekiranya perlu penjelasan maka kami akan maklumkan dan mahkamah akan putuskan kes ini pada 9 Jun nanti," kata Gobind ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas berhubung representasi berkenaan Gobind enggan mendedahkan kerana ia sulit.

"Representasi kita tak boleh beritahu, ia sulit," kata Gobind.

Lihat Komen
ADS