Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pilihan raya umum (PRU) ke-14 dijangkakan akan diadakan sebaik sahaja negara menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-60 pada 31 Ogos depan, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

"Saya rasa ada kemungkinan (PRU) diadakan dalam tahun ini, dan saya fikir paling awal pun lepas (sambutan) merdeka," kata Rafizi ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Rafizi berkata demikian ketika diminta mengulas apakah PRU akan diadakan dalam tempoh terdekat ekoran tindakan PAS memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

Majlis Syura Ulama PAS semalam mengambil ketetapan menerima usul dibawa dalam muktamar parti itu baru-baru ini bagi memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Ketetapan itu dibuat dengan merujuk begitu banyak pelanggaran syarat tahaluf siyasi antara PAS dengan PKR serta menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.

Antaranya, adalah tindakan PKR tidak menyokong - malah menentang - sebahagian daripada agenda Islam dibawa PAS.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga anggota Parlimen Pandan berkata, jangkaan itu sekali gus merupakan kebimbangan kepada PKR khususnya dan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Katanya, ini kerana pakatan pembangkang hanya mempunyai masa kira-kira empat bulan sahaja untuk memperbetulkan segala kecelaruan yang berlaku.

"Tapi inilah masalahnya, walaupun bunyi macam lepas merdeka tapi tak lama lagi, hanya 4 bulan dari sekarang.

"Empat bulan adalah masa yang singkat dan sangat penting bagi kita untuk berubah," kata Rafizi.

Kata Rafizi, kebimbangan itu ditambah dengan keupayaan pengundi hari ini yang bijak menilai apa yang berlaku kini.

"Orang ramai telah menunjukkan keupayaan untuk membedah, memahami apa yang sedang berlaku di belakang tabir, daripada runtuhnya Pakatan Rakyat sehinggalah tertubuhnya HARAPAN, sesiapa sahaja boleh buat tafsiran bahawa apa yang berlaku ini satu kesilapan besar.

"Saya fikir orang ramai memahami dan akan bergerak juga. Tetapi kita mempunyai banyak yang perlu dilakukan. Dan masa sebenarnya sangat pendek," ujar Rafizi.

Oleh demikian, Rafizi bertekad untuk mengubah keadaan ini.

"Kita mesti mengubah keadaan dengan menunjukkan apa yang kita boleh tawarkan sebagai pembangkang," tambah Rafizi.

Paling lewat, PRU ke-14 akan diadakan pada Jun 2018 setelah genap lima tahun selepas PRU ke-13.

Lihat Komen
ADS