Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian jumpa pengusaha stesen minyak minggu depan

Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan persatuan pengusaha stesen minyak berhubung perkembangan terbaru mengenai dakwaan kerugian yang dialami ekoran penurunan harga minyak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu berkata, pertemuan itu akan diadakan pada minggu hadapan di pejabatnya.

"Saya akan ambil pandangan mereka dan lakukan perbincangan apa masalah mereka sebenarnya.

"Kita tak boleh biar pengusaha ini tertekan dalam keadaan tertentu. Biar kita lakukan perbincangan dan pengguna juga kena faham yang saya lakukan bukan hanya untuk pengusaha sahaja tetapi nak memastikan kestabilan program ini.

"Kita akan bertemu minggu depan. Di pejabat saya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pameran dan persidangan franchise International Malaysia di ibu negara hari ini.

Hamzah berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung laporan yang mendakwa, pengusaha stesen minyak mengalami kerugian terutamanya ketika penurunan harga minyak secara berturut-turut.

Laporan The Star sebelum ini memetik Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz sebagai berkata, penurunan harga minyak secara berturut-turut menyebabkan banyak pengusaha berdepan risiko stesen mereka akan ditutup.

Khairul Annuar berkata, stesen minyak tidak dapat menghabiskan stok dalam masa pendek kerana RON95 secara puratanya memerlukan empat hingga lima hari untuk dijual manakala RON97 memerlukan masa seminggu.

Ekoran itu, katanya, ia menyebabkan pengusaha terpaksa menanggung perbezaan harga antara masa pembelian stok minyak dan penjualan kepada orang ramai.

Tambah Khairul Annuar, sejak pelaksanaan mekanisme perubahan harga bulanan pada bulan Disember 2014, di antara 30 hingga 40 stesen telah menutup operasi stesen minyak mereka.

Justeru, Hamzah memberitahu lagi, walau apa pun polisi yang akan diambil terhadap pengusaha stesen minyak, beliau akan memastikan bahawa ia juga akan dinikmati pengguna.

"Apapun polisi yang dilakukan, biar stabil dan pengguna akan nikmati," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS