Paling Popular
Terkini

Kesediaan Parti Cinta Malaysia (PCM) untuk menjadi rakan baru PAS bertahaluf siyasi dalam menuju pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah bukti bahawa parti itu tetap mendapat tempat di kalangan orang bukan Islam.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hasan berkata parti itu boleh - pada bila-bila masa - bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi dasar dan prinsip perjuangannya diterima dan dihormati.

Katanya, PAS adalah parti yang menjadikan Islam sebagai dasar dan prinsip perjuangannya kerana ia akan memandu manusia menjadi sejahtera dan harmoni dalam sosial, politik mahupun ekonomi.

"Islam menjanjikan keadilan kepada semua termasuklah golongan bukan Islam. Memulangkan hak kepada yang berhak, melindungi pihak tertindas dan menentang kezaliman, Islam mengangkat kebenaran dan menolak kebatilan.

"Inilah perjuangan PAS dan parti ini tidak mempunyai wajah kedua untuk berpura-pura dengan pihak bukan Islam. Wajah PAS hanya satu," katanya hari ini.

Nasrudin yang juga anggota parlimen Temerloh mengulas kenyataan Naib Pengerusi Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan yang menyatakan kesediaan pihaknya bekerjasama dengan PAS menjelang PRU14.

PCM ialah sebuah pertubuhan politik yang ditubuhkan pada 2009 oleh Huan yang sebelum ini berjawatan naib presiden Gerakan.

Huan pernah terpilih sebagai anggota parlimen Batu Kawan selama satu penggal pada 2004.

Tepat pada masanya

Ogos tahun lalu PAS mengumumkan kerjasama politik parti itu dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) yang dipimpin bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir.

Bersama Berjasa, mereka membentuk kumpulan Gagasan Sejahtera dan menggerakkan slogan budaya politik matang dan sejahtera.

Nasrudin berkata bersama umat Islam, PAS memperjuangkan Islam, manakala kepada bukan Islam parti itu berjuang atas prinsip Islam yang membawa keadilan untuk semua.

Katanya lagi, PAS amat berbesar hati dengan kenyataan Huan itu.

“Saya percaya sebagai seorang yang terpelajar dan mempunyai pengaruh tersendiri di kalangan bukan Islam, beliau terlebih dahulu membuat analisis dan kajian terhadap perjuangan PAS.

“Saya pasti kenyataan beliau tidak terburu-buru sebaliknya dengan penuh sedar dan faham situasi politik hari ini, lantas PCM menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan PAS,” katanya.

Nasrudin turut menyifatkan keputusan PCM itu tepat pada masanya dan ia bakal mengukuhkan Gagasan Sejahtera untuk membawa perubahan serta memimpin kebangkitan rakyat.

“Kami berjuang dan mendidik rakyat agar saling hormat menghormati antara satu sama lain dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama ini,” katanya.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya belum mengadakan pertemuan secara rasmi dengan Huan berhubung penyertaan PCM dengan Gagasan Sejahtera.

Bagaimanapun, katanya, ia mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Tuan Ibrahim turut menjangkakan lebih banyak parti lain yang akan menyertai Gagasan Sejahtera.

“Kita akan bergerak melalui Gagasan Sejahtera dan kita akan kukuhkan persiapan PRU14 melalui blok ketiga ini.

“Bagi saya dalam gagasan sejahtera ada tiga komponen iaitu parti politik, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan tokoh-tokoh yang akan bersama Gagasan Sejahtera.

"Dengan perkembangan positif ini kita yakin akan ada parti lain bersama Gagasan Sejahtera,” katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS