TalentCorp nafi bawa pulang Dr Ting

       

Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) menafikan ADUN Sarawak, Dr Ting Tiong Choon yang dilucutkan daripada kerusi Pujut, kembali ke negara ini di bawah Program Kepulangan Pakar (Returning Expert Programme, REP).

Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp Shareen Shariza Abdul Ghani berkata demikian ketika merujuk kenyataan Ting, yang mendakwa bahawa beliau “melepaskan kerakyatan Australia selepas dipilih oleh TalentCorp untuk kembali bekerja di Malaysia”.

Minggu lalu, Dewan Undangan Negeri Sarawak mengundi untuk untuk melucutkan keanggotaaan Ting dari kerusi Pujut kerana dikatakan memiliki kerakyatan Australia.

Menurut Shareen, rekod TalentCorp menunjukkan bahawa Ting tidak pulang di bawah REP dan juga tidak menerima insentif program berkenaan.

“Walaupun Dr Ting membuat permohonan di bawah REP pada Mei 2014 dan telah diberi
kelulusan bersyarat pada September 2014, beliau tidak menyerahkan bukti bahawa beliau telah pulang ke tanah air dan berjaya memperoleh pekerjaan di Malaysia untuk membolehkan beliau menerima Surat Akuan Tarikh Kembali (SATK).

“Di samping itu, beliau juga telah gagal untuk memenuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh
Jawatankuasa REP,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sijil pengesahan MMC

Walau bagaimanapun, Ting menegaskan bahawa beliau telah berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) walaupun proses itu ditangguhkan selama beberapa bulan.

Beliau juga menunjukkan Malaysiakini dokumen berkaitan itu.

"Saya juga telah mendapat sijil pengesahan pendaftaran yang dikeluarkan oleh MMC pada tahun 2015, yang membolehkan saya untuk bekerja di Sarawak atau mana-mana tempat di Malaysia.

"Satu-satunya perkara yang saya tidak dilakukan adalah melaporkan kepada REP. Insentif bukan alasan untuk saya pulang bagi berkhidmat kepada rakyat Sarawak," katanya kepada Malaysiakini.

Shareen menjelaskan bahawa semua permohonan REP REP daripada para profesional perubatan terlebih dahulu dibentangkan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kerja Bersama – Tenaga Kerja
Penjagaan Kesihatan (Joint Working Committee - Healthcare Talent, JWC-HT).

Ahli-ahli jawatankuasa ini termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia, MMC, Pendaftar Pakar Kebangsaan (National Specialist Register, NSR) dan beberapa anggota jawatankuasa yang dilantik.

“JWC-HT berperanan untuk menyemak kelayakan akademik dan pengalaman kerja pemohon bagi menentukan kelayakan mereka di bawah REP. Ia kemudian menghantar cadangannya kepada Jawatankuasa REP.

“Dalam kes Dr Ting, kelulusan bersyaratnya menghendaki beliau menyediakan surat pelantikan jawatan sebagai pegawai perubatan di kawasan luar bandar serta pendaftarannya dengan MMC,” katanya.

Cabar kesahihan

Selepas mendapat kelulusan, Shareen berkata semua pemohon REP diberi tempoh sehingga dua tahun untuk kembali dan memperoleh pekerjaan di Malaysia sebelum SATK dikeluarkan oleh
TalentCorp untuk diluluskan sebagai pakar yang pulang di bawah REP dan mendapat
manfaat daripada insentif di bawah program ini.

“Ketika membuat permohonan, Dr Ting memegang pasport Malaysia yang sah dan ini melayakkan beliau untuk membuat permohonan REP. Di bawah REP, pemegang penduduk tetap (PR) dibenarkan memohon untuk REP sekiranya mereka dapat menunjukkan bukti bahawa mereka masih warganegara Malaysia.

“Di samping itu, pemohon perlu memenuhi kriteria yang ketat berhubung kelayakan akademik, pengalaman kerja, tahap pendapatan dan tempoh perkhidmatan di luar negara.

“Mereka juga mesti bekerja dalam pekerjaan berkemahiran tinggi yang dikenal pasti dalam Senarai Pekerjaan Kritikal (Critical Occupations List, COL) serta bekerja dan tinggal di luar negara pada masa permohonan,” katanya.

Usul untuk melucutkan kelayakan Ting dibentangkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Wong memetik Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan asing atau menikmati hak-hak kerakyatan asing akan hilang kelayakan sebagai seorang ADUN.

DAP Sarawak dilaporkan akan mencabar kesahihan tindakan pemecatan di mahkamah.

Kes ini dipercayai yang pertama di Malaysia.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda