Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akhbar: Pelarian kehausan terpaksa minum air tandas
Diterbitkan:  May 16, 2017 1:30 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Pelarian yang kehausan dan pencari suaka yang ditahan di depoh tahanan imigresen Malaysia terpaksa meminum air tandas, menurut laporan yang disiarkan dalam akhbar The Guardian.

"Mereka hanya memberi kami secawan kecil air dengan makanan, jika tidak cukup, kami terpaksa minum air tandas," kata Mouyura Begum, 18, seorang pelarian Rohingya kepada akhbar dari United Kingdom itu.

Mouyura, yang ditahan selama setahun di depoh Belantik di Kedah, juga mendakwa pengawal di pusat tahanan itu sering-kali memukul mereka.

"Hanya apabila seseorang itu hampir mati, pengawal akan datang. Jika tidak, jika kita mengadu, atau minta untuk dibawa ke hospital, mereka akan memukul kami, " dakawanya.

Dalam sesetengah kes, seorang pelarian dari negeri Kachin Myanmar mendakwa pelarian dibelasah hingga mati.

Bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan, dia mendakwa menyaksikan seorang tahanan Sri Lanka dipukul hingga mati.

"Tetapi mereka beritahu kami, dia mati kerana sakit," katanya.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) memberitahu The Guardian bahawa sekurang-kurangnya 24 pelarian dan pencari suaka meninggal dunia - kebanyakan disebabkan oleh penyakit - ketika ditahan oleh Jabatan Imigresen sejak 2015.

Kementerian Dalam Negeri mengesahkan antara 2014 dan 2016, 161 kematian berlaku di depot imigresen.

Dalam jawapan parlimen bulan ini, kementerian itu berkata bilangan terbesar kematian dicatatkan di kem-kem tahanan adalah di Langkap (40), Bukit Jalil (31) dan Lenggeng (28).

Kebanyakan kematian membabitkan warga Myanmar (73), diikuti oleh Indonesia (23) dan Bangladesh (14).

Kementerian Dalam Negeri berkata, kematian disebabkan oleh pelbagai penyakit termasuk batuk kering dan HIV.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS