Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sarawak maklumkan kekosongan kerusi DUN Pujut kepada SPR
Diterbitkan:  May 16, 2017 6:25 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Dewan Undangan Negeri Sarawak telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memaklumkan tentang pelucutan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata surat itu ditandatangani dan dihantar kepada SPR hari ini untuk memaklumkan bahawa kerusi DUN Pujut kini kosong mengikut Perkara 21 (5) Perlembagaan Negeri.

"Saya serahkan perkara ini kepada SPR untuk tindakan selanjutnya. Kini semuanya terserah kepada mereka memandangkan pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari," katanya pada sidang akhbar di luar sesi persidangan DUN di Kuching.

Jumaat lepas, DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai wakil rakyat daripada DAP bagi kerusi Pujut, kerana didakwa turut mempunyai kewarganegaraan Australia.

Mohamad Asfia membuat keputusan itu, dipercayai kes pertama di Malaysia, selepas Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh membentangkan usul untuk melucutkan kelayakan Dr Ting.

Ketika memperjelaskan perkara itu, Mohamad Asfia berkata keputusan dibuat dalam lingkungan dan bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan serta Negeri.

Beliau berkata Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Negeri menyatakan bahawa seseorang hilang kelayakan untuk menjadi anggota DUN jika dia seorang bankrap belum lepas, atau telah dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan negara lain, menggunakan hak kewarganegaraan negara lain atau telah membuat suatu akuan setia kepada mana-mana negara lain.

Beliau seterusnya memetik Perkara 72 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan apa-apa prosiding di dalam Dewan Undangan mana-mana Negeri tidaklah boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.

Selain itu, Perkara 19 (1) Perlembagaan Negeri Sarawak menyatakan "jika berbangkit apa-apa soal sama ada seseorang ahli telah hilang kelayakan untuk menjadi ADUN, maka Dewan itu hendaklah mengambil keputusan mengenainya dan keputusan itu adalah muktamad."

Mohamad Asfia berkata prinsip keadilan asasi telah dijunjung, memandangkan Dr Ting dan ketua pembangkang, Chong Chieng Jen diberi peluang secukupnya untuk membentangkan hak berdasarkan prinsip 'audi alteram partem', iaitu hak untuk didengari.

Sementara itu menjawab soalan media, Mohamad Asfia berkata terpulang kepada Dr Ting sekiranya beliau mahu membawa perkara itu ke mahkamah.

"Jika mereka memfailkan writ, respons kami adalah, kami akan membuat permohonan untuk membatalkan writ itu. Kedudukan kami jelas, kami bertindak dalam lingkungan dan bidang kuasa Perlembagaan Persekutuan dan Negeri," katanya.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS