Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Upko: Perkara biasa terima dana dari pengerusi BN

Adalah perkara biasa bagi parti-parti komponen menerima dana daripada pengerusi BN bagi menganjurkan program untuk rakyat, kata Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Marcus Mojigoh.

Beliau mengulas dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa Upko menerima RM1 juta daripada akaun bank Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Marcus dinamakan sebagai orang yang bertanggungjawab menerima wang berkenaan melalui transaksi pada 17 Februari 2015.

"Najib tidak pernah memberikan saya satu sen pun.

"Bagi wang yang diterima oleh parti, ia adalah perkara biasa bagi pengerusi BN membantu parti-parti komponen menganjurkan program untuk membantu rakyat," katanya kepada Malaysiakini.

Tambahan pula, Marcus berkata ia tidak menyalahi undang-undang bagi parti politik menerima dana daripada rakan-rakan apabila wang itu digunakan untuk program-program awam.

"Jangan beritahu saya parti-parti pembangkang tak menerima sumbangan daripada penyokong?" katanya.

Marcus juga mengkritik Rafizi kerana berkali-kali cuba menggambarkan perdana menteri dengan perkara negatif.

"Dia tidak mempunyai agenda lain tetapi untuk memberi gambaran yang buruk kepada perdana menteri. Dia melakukan ini dengan sengaja untuk mencemarkan nama baik Malaysia," katanya.

Pemimpin Upko itu juga menuduh Rafizi cuba menakutkan pelabur asing supaya kemudian boleh menyalahkan Najib apabila ekonomi negara terjejas.

"Beliau cuba sedaya upaya untuk menipu rakyat. Dia mencari publisiti murahan dan kepentingan politik.

"Beritahu Rafizi supaya bersuara untuk pengundinya di Pandan. Beliau telah gagal teruk sebagai ahli parlimen Pandan. Dia perlu memberi fokus kepada membantu kawasannya," katanya.

Selain Upko, Rafizi juga menamakan lima penerima lain yang didakwa diberikan sebanyak RM10.02 juta.

Pihak tersebut adalah ibu pejabat Umno, Umno Pulau Pinang, Ketua Umno Padang Serai Asmadi Talib serta Umno Johor Bahru dan BN Bandar Tun Razak.

Memetik dokumen yang dimuat naik di blog sprminsider.blogspot.com, Rafizi mendakwa wang itu datang daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Asmadi turut menafikan dakwaan itu, dan menyifatkannya sebagai strategi politik untuk memburukkkannya.

Malaysiakini cuba menghubungi pihak-pihak lain yang dinamakan untuk mendapatkan komen.

 

Lihat Komen
ADS