Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah kekal keputusan balu berhak terima pencen
Diterbitkan:  May 17, 2017 6:39 AM
Dikemaskini: May 17, 2017 3:22 AM

Mahkamah Tinggi semalam mengekalkan keputusan Pengerusi Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial Pekerja (SSAB) yang memutuskan bahawa seorang balu yang perkahwinannya tidak diiktiraf di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, berhak menerima Pencen Penakat.

Hakim Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan itu selepas menolak rayuan oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terhadap keputusan pengerusi SSAB yang memutuskan bahawa Lam Kun Tai, seorang balu, berhak mendapat Pencen Penakat di bawah kategori "tanggungan" sebagai balu mendiang suaminya di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (ESSA 1969).

Hakim dalam penghakiman ringkasnya berkata mahkamah bersetuju dengan hujah oleh peguam G. Manimegalai, yang mewakili Lam, 51, selaku responden dalam rayuan tersebut.

"Rayuan oleh Ketua Pengarah PERKESO tidak mempunyai merit, oleh itu mahkamah menolak rayuan tersebut," kata hakim dan mengarahkan Ketua Pengarah PERKESO sebagai perayu membayar kos sebanyak RM5,000 kepada responden.

Lam berkahwin dengan Leow Teng Song, seorang penyelia, mengikut adat perkahwinan Cina pada 1991 dan hasil perkahwinan selama 24 tahun, mereka mempunyai empat orang anak - seorang lelaki dan tiga perempuan - berusia 17 hingga 21 tabhun.

Lam berkata dia telah mengemukakan bukti bahawa upacara perkahwinannya berlangsung di Kuil Kowchow Sin Thye Foo Yan di Kepong dan juga di rumah nenek suaminya di Sekincan, Selangor.

Lam berkata selepas suaminya meninggal dunia pada 16 November 2015, dia dan anak-anaknya membuat tuntutan bagi pencen penakat di bawah ESSA 1969 dan perayu enggan membuat apa-apa bayaran pencen penakat kepadanya dengan mendakwa dia bukan balu di bawah akta berkenaan kerana perkahwinannya dengan mendiang suaminya tidak pernah didaftarkan di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Bagaimanapun, PERKESO meluluskan tuntutan yang dibuat oleh anak-anaknya dan pencen penakat dibayar kepada mereka.

Lam, seorang pekerja rencam, ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata beliau gembira dengan keputusan mahkamah semalam.

Peguamnya iaitu Manimegalai berkata oleh kerana undang-undang diperkenalkan untuk menjamin keadilan sosial dan ekonomi, perkataan "balu" hendaklah ditafsirkan secara fleksibel, liberal dan dengan cara yang memberi keadilan kepada kepada anak guamnya.

"Walaupun jika perkahwinan itu tidak didaftarkan di bawah Akta tersebut, anak guam saya berhak menerima Pencen Penakat sebagai balu mendiang suaminya," kata beliau.

Ketua pengarah PERKESO diwakili oleh peguam Diba Natalia Ishak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS