Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kenapa Island Hospital tak perlu tender terbuka

Projek mega Island Hospital di Lebuh Raya Peel di Pulau Pinang tidak tertakluk kepada sistem tender terbuka kerana ia dianggap sama seperti pelaburan asing, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Ia seperti syarikat elektronik yang diundang untuk melabur ke negeri itu, katanya lagi.

Lim mengingatkan bahawa pembinaan hospital adalah kerja yang sukar dan Island Hospital sudah melabur RM2 bilion dalam projek yang dijadual siap lima tahun lagi itu.

Katanya, syarikat berkaitan juga telah melalui prosedur ketat untuk mendapat lesen Kementerian Kesihatan untuk beroperasi di Malaysia.

“Negeri ini merasakan, oleh kerana ditawarkan pelaburan besar daripada sebuah syarikat bereputasi baik, kami melayannya seperti pelaburan asing, kerana terdapat juga wang asing disuntik untuk projek ini,” kata Lim.

“Pelaburan ini sama seperti syarikat multinasional seperti Intel dan banyak lagi, tidak banyak dapat masuk dengan pelaburan RM2 bilion,” katanya, ketika ditanya kerana projek itu tidak tertakluk kepada sistem tender terbuka.

Ditanya kenapa projek itu tidak diumumkan sehinggalah ditimbulkan oleh pembangkang negeri, Lim berkata beliau menghormati persetujuan tidak mendedahkan perkara itu.

“Kita tidak dapat buat pengumuman sendiri, pelabur akan mencari masa yang sesuai untuk lakukannya dan ia dijadual hari ini,” katanya.

“Jika kita umumkan hari ini atas sebab politik, pelabur-pelabur tidak akan yakin dengan kita, mereka juga syarikat tersenarai awam dan terpaksa mengikuti prosedur seperti memaklumkan perkembangan kepada Bursa Saham”

“Kita tidak akan dipengaruhi oleh permainan politik pihak tidak bertanggungjawab.”

Gerakan Pulau Pinang dan beberapa NGO membangkitkan kenapa tiada tender terbuka dibuat untuk penjualan tanah negeri dan tapak milik Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang itu dijual kepada Island Hospital.

Island Hospital mengaku sebagai peneraju hab pelancongan perubatan di Asia Tenggara.

Dalam sidang media di Komtar semalam, Pengarah Island Hospital Benny Lim berkata projek itu akan menyaksikan hospital 1,000 katil, berbanding 300 sekarang, apabila siap.

Katanya, projek itu terletak atas tanah 6.4 ekar yang dipajak selama 99 tahun dengan harga RM156 juta. Terdapat satu lagi plot tanah bersebelahan tanah itu yang dimiliki oleh hospital.

“Projek ini akan memberikan 2,000 peluang pekerjaan. Nilai ekonomi projek itu dijangka melebihi RM bilion,yang turut memberi manfaat kepada industri lain,” kata Benny yang berpangkalan di Singapura.

Berpangkalan di Pulau Pinang dan diasaskan pada tahun 1996, Island Hospital sekarang didanai oleh syarikat Singapura.

Ia dianugerahkan Hospital Pelancongan Perubatan Terbaik oleh Majlis Pelancongan Perubatan Malaysia dan Hospital Pelancongan Perubatan 2017 oleh Frosts and Sullivan, bawah kategori Anugerah Amalan Terbaik.

Lihat Komen
ADS