Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Melayu hari ini tak kisah malu jika...
Diterbitkan:  May 18, 2017 12:58 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hari ini ada orang Melayu yang tidak sedikit pun berasa malu jika diketuai oleh pemimpin yang diketahui mencuri dan melakukan pelbagai jenayah.

Tanpa menamakan mana-mana individu, ujar bekas perdana menteri itu, daripada menjauhkan diri dari pemimpin seperti ini, ramai pula orang Melayu yang sanggup berkongsi hasil pencurian ini.

"Sepatutnya perasaan malu akan menyerang masyarakat jika ada dikalangannya seseorang atau kumpulan terlibat dengan perbuatan jenayah.

"Tetapi hari ini ada orang Melayu tidak sedikit pun berasa malu jika dipimpin oleh pemimpin yang diketahui telah mencuri dan melakukan pelbagai jenayah.

"Jauh dari menjauhkan diri dari pemimpin seperti ini, ramai juga yang sanggup berkongsi hasil pencurian ini. Ada yang menolong menutup jenayah ini dan mendakwa pemimpin tidak tahu dan telah ditipu," jelas Mahathir dalam blognya.

Sebelum ini, Mahathir dilihat kerap mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa beliau sebagai terlibat dalam skandal 1MDB dengan menyamun harta negara dan rakyat.

Mengulas lanjut, tambah Mahathir, masyarakat yang memiliki perasaan tidak tahu malu akan rosak dan mundur dengan anggota serta bangsanya akan dipandang hina.

"Inilah yang sudah terjadi pada bangsa Melayu sekarang," katanya lagi.

Satu dari perlakuan yang tidak baik dan sepatutnya memalukan ialah amalan membodek dengan adakalanya pembodek sanggup menterbalikkan perbuatan kerana ingin dipuji oleh tuannya, jelasnya.

"Tidak ada perasaan malu barang sedikit pun apabila dikesan dan diperkatakan tentang perbuatan yang tidak baik olehnya.

Menyalahguna hak membuat keputusan kerana ingin membodek tuannya tidak memalukan orang tertentu ini.

"Ada yang apabila dituduh mencuri, orang yang tidak tahu malu akan hanya senyum," jelasnya.

Di Jepun, Mahathir menambah, rakyat negara itu sanggup membunuh diri kerana malu apabila gagal menjalankan tugasnya atau tidak sebaik yang diharapkan atau melakukan sesuatu yang tidak baik dalam pandangan masyarakat.

"Dalam masyarakat Melayu perasaan malu berbeza dengan orang Jepun. Mereka berasa malu jika kain terlondeh di hadapan orang.

"Jika gagal menjalankan tugas yang diberi atau diamanah, perasaan malu tidak mengganggu fikiran mereka.

"Jika mereka mengambil atau melesapkan duit yang diamanahkan kepada mereka juga mereka tidak berasa malu," ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS