Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tiga exco PAS akan kekal dalam kerajaan negeri Selangor sehingga Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali membuat keputusan dan mendapatkan perkenan Sultan Selangor, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Bercakap kepada wartawan selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di ibu negara, hari ini, Takiyuddin berkata, jawatankuasa kerja hari ini memutuskan sehingga keputusan belum dibuat dan diperkenan Sultan Selangor, ketiga-tiga exconya akan kekal.

Ini kerana, katanya, perkara berkenaan melibatkan Undang-undang Kerajaan Tubuh Negeri 1959 dan perlu mendapat perkenan sultan.

"Ia terpulang kepada Sultan, dan sudah tentu jika ia mendapat cadangan dari menteri besar. Itu prosedur,” katanya.

Malah, katanya, PKR sendiri tidak membuat sebarang keputusan berhubung tiga exco itu kerana menunggu Azmin pulang dari luar negara.

"Sebab itu PKR tak buat keputusan dan tunggu menteri besar balik untuk buat apa-apa. Sebab ia dalam perlembagaan.

"Walau apa pun, menteri besar kena minta perkenan dari Sultan dan itu terpulang pada Tuanku. Kita akan kekal (exco) dan tiada sebarang arahan (untuk letak jawatan)," katanya.

Tiada arahan ADUN PAS letak jawatan

Selain itu, ditanya mengenai keputusan PKR yang mengarahkan agar anggotanya meletakkan jawatan lantikan politik di Kelantan, Takiyudin berkata ia adalah pilihan masing-masing.

"Pendirian PAS ialah meneruskan lantikan pimpinan dari PKR (di Kelantan).

“Dari segi undang-undang, mana-mana yang dilantik bebas untuk letak jawatan. Itu pilihan sendiri," katanya.

Sementara itu, pada sidang media sama, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan laporan yang mendakwa parti itu mengarahkan agar 13 ADUN parti itu di Selangor untuk tidak menyokong kerajaan negeri.

"Saya nak nafikan ada arahan supaya ADUN-ADUN (PAS) letak jawatan atau keluar dari kerajaan Selangor.

“Laporan media itu juga telah dinafikan pesuruhjaya PAS Selangor. Beliau juga tak terima sebarang arahan bersifat demikian," kata Tuan Ibrahim.

Laporan The Star hari ini mendakwa, PAS Selangor mengancam untuk keluar daripada kerajaan negeri sekiranya Azmin memaksa tiga exconya meletakkan jawatan.

Laporan itu juga mendakwa, kepimpinan PAS Selangor akan meminta 13 wakil rakyatnya berhenti memberi sokongan kepada kerajaan negeri sekiranya menteri besar tunduk kepada tekanan dari Pakatan Harapan yang menggesa supaya PAS disingkirkan.

Lihat Komen
ADS