Ali Tinju dakwa David Teo mungkin dihantar pembangkang

       

Bekas tentera Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju mendakwa pembangkang mungkin di sebalik kehadiran pengarah filem David Teo malam tadi bagi membuat kacau pada sesi dialog Transformasi Negara (TN50) yang diadakan di Seri Perdana.

“Saya lihat isu malam tadi, saya nak pertikaikan kehadiran David Teo seolah-olah pemimpin tak bertanggungjawab, DAP yang cuba bayar David Teo buat kacau dalam program yang amat baik.

“Kalau orang berakal tak buat cara malam tadi tapi dia nak jadi hero, kalau dia profesional dia angkat tangan (untuk tanya soalan).

“Saya minta supaya polis segera siasat David Teo yang mungkin upahan pembangkang mungkin upahan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, mungkin Tun (Dr) Mahathir (Mohamad),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju hari ini.

Ali tinju turut mendakwa bahawa Teo adalah tali barut DAP dan beliau bertanggungjawab dengan kenyataan itu.

“Jika David tidak berpuas hati dengan kenyataan Ali Tinju, saya minta dia bawa ke mahkamah untuk kita teruskan pengadilan di mahkamah dan saya sedia untuk dibawa ke mahkamah,” katanya.

Pada kejadian malam semalam, pelakon dan pelawak Sulaiman Yassin atau nama popularnya, Mat Over menampar Teo di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sulaiman yang tidak kesal dengan tindakannya melempang Teo berkata ia adalah cara untuk mengajar pengarah itu 'cara beradab'.

Dia turut mendakwa bahawa sikap Teo itu tidak menghormati perdana menteri dan pelakon Datuk Rosyam Nor selaku moderator di sesi dialog Transformasi Negara (TN50).

Ali Tinju yang hadir bersama peguamnya Mohammad Yahya Zakaria turut membuat laporan polis terhadap Teo serta meminta siasatan segera dibuat ke atasnya.

Dia turut menggesa pihak berkuasa untuk mengharamkan filem arahan dan terbitan Teo daripada disiarkan di televisyen sebagai memberi pengajaran kepadannya.

“Saya minta pihak berkuasa untuk mengharamkan filem yang dibuat David untuk ditayang di TV.

“Kita minta rakyat supaya bersetuju David dikenakan tindakan supaya beliau berubah dan bertaubat dan tidak membuat satu perkara yang meyinggung perasaan orang lain,” katanya yang turut menyokong tindakan Sulaiman.

Malah kata Ali, beliau akan bertemu dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi menghantar memorandum supaya gelaran ‘mejar kerhormat’ yang disandang oleh Teo ditarik serta merta.

“Saya minta Datuk Hisham untuk adakan mesyuarat tergempar supaya menarik serta merta gelaran mejar kerhormat yang disandang oleh David,” katanya.

 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda