Serangan ke atas pengarah filem David Teo pada majlis dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Putrajaya, malam semalam menimbulkan kemarahan orang ramai tetapi bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menyaksikan kejadian itu, "semua kini kembali berkeadaan baik."
“Perbincangan menjadi agak hangat semalam. Ia rancak, tetapi semua kini kembali berkeadaan baik.
“Semua pendapat akan didengari demi TN50,” katanya menerusi Twitter beliau, hari ini.
Discussion got a little too intense yesterday! A lively discussion but it's all good now. All will be heard for @myTN50
— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak) May 18, 2017
Beliau kemudian dipuji oleh pengikutnya, termasuk James Saw, yang berkata Teo "benar-benar melampaui batas".
"Tamparan itu adalah untuk menyedarkannya daripada menjadi kurang ajar," kata Saw, yang menggunakan nama @tiagomaulle, ketika menjawab kepada Najib.
"Kita perlu menjaga akhlak," katanya.
Seorang lagi pengguna Twitter berkata kejadian menampar sebagai tidak menghormati pemimpin.
"Orang yang bertindak balas menampar seorang lelaki di hadapan kamu, sebenarnya tidak menghormati kamu," kata Saravanan, yang menggunakan nama@sara_alagar ketika menjawab kepada PM.
Sesi dialog TN50 Perdana Menteri bersama penggiat seni tanah air semalam berlaku insiden tidak diduga apabila pelakon dan pelawak, Sulaiman Yassin bertindak mengasari Pengarah Filem, David Teo.
Sebelum itu, Teo telah meninggikan suaranya selepas tidak mendapat peluang untuk bercakap semasa dialog berkenaan.
Beliau mendakwa moderator, Rosyam Nor, dan Najib, hanya memberi perhatian kepada mereka yang di hadapan mereka, dan bukannya kepada hadirin yang duduk di belakang auditorium.
Rosyam kemudiannya bersetuju untuk memberi Teo peluang untuk bercakap selepas pengarah itu bersetuju untuk bertenang.
Walau bagaimanapun, Sulaiman yang tiba-tiba muncul dari belakang terus menampar Teo.