JAIM gesa pengendali wakaf al-Quran mohon kebenaran MAIM

Rashidah Abd Rahim & Shaidathul Suhana Ros, Bernama        

Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menggesa semua pengendali wakaf al-Quran di negeri ini agar memohon kebenaran daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk menjalankan tawaran wakaf berkenaan bagi mengelak sindiket penipuan menggunakan agama Islam selain mengaut keuntungan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM Rahimin Bani berkata setakat ini tiada garis panduan khusus bagi pengoperasian wakaf al-Quran dan ia perlu dipantau kerana aktiviti tersebut pada masa kini dilihat telah dikomersialkan pihak tertentu dan menjadi perniagaan yang diragui.

Beliau berkata pemantauan perlu dilakukan kerana aktiviti berkenaan tertakluk di bawah kutipan khairat yang perlu digunakan untuk pengembangan syiar dan masyarakat Islam.

"Kita menerima beberapa aduan daripada orang awam yang meragui perjalanan urusan wakaf al-Quran yang dikendalikan kerana ia tidak disertakan dengan dokumen asal atau yang terkini dan sahih.

"Kebanyakan pengadu mendakwa dokumen atau gambar penyerahan al-Quran yang dilakukan pengendali adalah gambar lama dan tidak jelas, melibatkan institusi atau badan luar negara dan dokumen kelulusan bukan dikeluarkan oleh JAIM, MAIM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia," katanya kepada Bernama.

Rahimin berkata harga yang ditetapkan bagi wakaf al-Quran yang ingin disumbangkan juga menjadi isu kerana ia ditetapkan pihak pengendali sesuka hati tidak seragam sehingga mencecah ribuan ringgit.

Katanya perbuatan berkenaan juga sekaligus menimbulkan kekeliruan, tohmahan dan fitnah dalam kalangan umat Islam serta boleh mencemarkan imej Islam dalam konteks pemberian sedekah atau kutipan khairat.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat penyumbang wakaf al-Quran juga sering diganggu pengendali program tersebut setiap bulan secara paksaan untuk terus menyumbang dana.

"Kita khuatir sebahagian besar wang sumbangan bagi wakaf al-Quran ini digunakan untuk membiayai kos operasi perniagaan mereka. Jadi kita mahu semua pengendali ini menjelaskan pengoperasian dan dana yang diperoleh," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kawasan tumpuan awam terutama di bank dan pusat beli-belah menjadi antara lokasi aktiviti kutipan dana bagi wakaf al-Quran di negeri itu dan satu daripada lokasi adalah di hadapan sebuah bank di Jalan Hang Tuah yang dilakukan dua lelaki berusia lingkungan awal 20-an.

Menurut seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Nafis, mereka menjalankan urusan wakaf al-Quran dan set kitab Ihya pada harga diskaun iaitu RM800 sempena Ramadan akan datang berbanding harga sebenar iaitu RM 1,389.

"Kami juga tawarkan untuk umat Islam yang ingin melakukan wakaf berasingan iaitu untuk al-Quran pada harga diskaun iaitu RM599 manakala set kitab Ihya pada harga RM450 dan tawaran ini adalah terhad," kata jurujual syarikat penerbitan buku yang mendakwa beroperasi di Melaka Raya serta giat menjalankan aktiviti wakaf termasuk di Subang, Sungai Buloh dan Johor Bahru itu.

Beliau berkata semua wakaf al-Quran dan set kitab Ihya berkenaan akan diserahkan kepada beberapa sekolah tahfiz di negeri Melaka antaranya di Umbai, Padang Temu dan Alor Gajah selain mendakwa aktiviti berkenaan mendapat kerjasama JAIM.

Bagaimanapun, ketika diminta melihat bukti pengesahan aktiviti tersebut daripada pihak berkuasa, kedua-dua lelaki berkenaan hanya mengemukakan salinan surat permohonan bertarikh 28 Disember 2016 daripada sebuah sekolah tahfiz di Alor Gajah bagi permohonan wakaf al-Quran dan set kitab Ihya untuk kegunaan pelajar di sekolah dan sekeping gambar penyerahan al-Quran kepada seorang pelajar yang didakwa daripada sekolah berkenaan.

Syarikat itu juga turut menawarkan hadiah cabutan bertuah iaitu pakej menunaikan umrah pada bulan Ramadan bagi menarik minat umat Islam untuk melakukan wakaf tersebut.

Dalam pada itu, Rahimin mengesahkan pihaknya tidak pernah berurusan atau mengeluarkan kebenaran kepada syarikat berkenaan untuk menjalankan aktiviti wakaf al-Quran dan mengesyaki ia dijalankan tanpa kebenaran pihak berkuasa selain bermotifkan keuntungan.

- Bernama
 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In