Tenggelam lagi, jambatan Pulau Setelu ditutup semula

   

Jambatan sementara Kampung Pulau Setelu di Gua Musang yang dibuka kepada pengguna pagi semalam, ditutup semula apabila ia ditenggelami arus air Sungai Nenggiri mulai pukul 5.00 pagi tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) Gua Musang, Mohd Yusalmi Mohd Yusoff berkata jambatan itu yang masih dalam kerja dibaik pulih tenggelam kira-kira dua meter dan tertimbus dengan sisa kayu yang dihanyutkan arus sungai selepas hujan lebat sejak pukul 4 petang semalam.

"Walaupun paras air sungai semakin surut petang ini, namun ia mengambil masa untuk surut sepenuhnya dan pengguna perlu bersabar," katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan jambatan itu hari ini.

Beliau berkata banyak kerja terpaksa dilakukan terutama bagi membersihkan sisa kayu yang menimbus jambatan dan mungkin berlaku kerosakan lain yang perlu dibaiki semula.

Jambatan sementara tersebut yang dibina lebih rendah dari permukaan sungai berikutan jambatan asal runtuh ketika banjir 2014, sering ditenggelami arus sungai berkenaan apabila berlaku hujan lebat.

Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Ab Ghani berkata kerja membaik pulih jambatan dijangka selesai akhir minggu depan, tetapi terpaksa disambung lagi berikutan kejadian berkenaan.

"Kerajaan sudah mengeluarkan perbelanjaan besar bagi membaik pulih jambatan itu termasuk yang terbaru sebanyak RM400,000," katanya.

- Bernama
 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In