Kamarul dakwa lebih 100 pensyarah sertainya 'serang' DAP

   

Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff meneruskan 'serangan' ke atas DAP dengan memulakan inisiatif penyediaan memorandum bagi mendesak Pendaftar Pertubuhan (RoS) memberi surat tunjuk sebab kepada DAP.

"Kepada ahli-ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan, sukacita dimaklumkan bahawa saya telah memulakan inisiatif untuk menyediakan satu memorandum bagi mendesak RoS memberi surat tunjuk sebab kepada DAP.

"Ia mengenai mengapa pendaftaran DAP tidak boleh dibatalkan dan seterusnya membatalkan pendaftaran DAP jika DAP gagal memberi representasi yang memuaskan kepadanya.

"Asas utama yang kami gunakan di dalam memorandum ini adalah banyak daripada aktiviti-aktiviti atau hal-ehwal DAP yang berlawanan dengan, atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambilkira mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia dan mengenai kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan.

Setakat ini, jelas beliau, lebih 100 ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti tempatan, termasuk 18 profesor dan 24 profesor madya bersetuju, di atas kapasiti peribadi, untuk menjadi penandatangan kepada memorandum ini.

Terdahulu, Kamarul Zaman menyifatkan kandungan buku bertajuk 'Becoming Hannah' yang dihasilkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh sebagai usaha untuk memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang lain yang bukan beragama Kristian supaya cenderong kepada agama Kristian.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub yang tampil mempertahankan Yeoh menyifatkan ulasan Kamarul Zaman itu ‎hanya untuk menimbulkan isu agama dan perkauman menjelang pilihan raya umum (PRU).

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, asas yang digunakan pihaknya dalam memorandum ini adalah selari dengan peruntukan Seksyen 2A (1) Akta Pertubuhan dan Seksyen 13 (1) (c) Akta Pertubuhan.

Antara ahli akademik yang bersetuju untuk menjadi penandatangan kepada memorandum tersebut adalah di kalangan mereka yang sedang berkhidmat di lebih universiti tempatan antaranya Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Selain itu, mereka juga dari Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Sultan Azlan Shah Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Malaysia Pahang.

"Kepada mana-mana ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan yang turut berminat untuk menjadi penandatangan kepada memorandum ini, anda boleh berbuat demikian dengan menghubungi saya.

"Dengan syarat bahawa anda hendaklah mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD)," tambah beliau.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda