Dari sekolah mubaligh Kristian jadi peguam syarie

       

ULASAN l Saya bersekolah rendah di SK Methodist Kuala Langat. Ya, ia adalah sebuah sekolah mubaligh Kristian.

Di setiap blok bangunan tersebut terdapat mercu tanda salib atau 'cross'.

Pada usia yang begitu kecil, saya sudah terdedah kepada gereja, Good Friday, dan pengetahuan terhadap agama Kristian.

Bukan sahaja saya, hampir 50 peratus rakan-rakan saya yang beragama Islam juga bersekolah di situ. Kami juga belajar subjek Pendidikan Islam di dalam bangunan yang mempunyai tanda salib.

Tanda salib berada di mana-mana.

Namun tiada langsung salah seorang dari kami yang memeluk agama Kristian. Kami membesar dengan sempurna dan masih menganut agama Islam.

Kami pergi ke masjid setiap hari Jumaat. Pengetahuan kami terhadap Islam juga lebih mendalam. Sehingga saya menjadi seorang Peguam Syarie pada hari ini.

Pada zaman dahulu semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir, sukar sekali untuk kita jumpa kes extrimis agama seperti hari ini.

Masyarakat dulu lebih toleran, bertolak ansur dan mempunyai semangat muhibbah yang tinggi.

Semasa saya kecil, setiap petang kami akan pergi bermain bola sepak di padang Gereja St Mary di Banting, Selangor. Majoriti yang bermain bola sepak di situ adalah orang Islam. Seorang pun tidak masuk agama Kristian.

Amat melucukan apabila ada orang yang boleh terpengaruh dengan sesuatu agama setelah membaca buku biografi seorang ahli politik.

Saya pernah buka Bible semasa berada di suatu hotel. Saya baca sikit chapter Genesis. Menarik. Tapi macam baca buku cerita sahaja. Tidaklah saya rasa nak masuk Kristian.

Pada pandangan saya, toleransi agama di Malaysia semakin membimbangkan. Ini kerana wujud golongan ekstrimis yang mempunyai kepentingan tertentu yang kita tidak tahu. Atau sekadar mahu mencari populariti.

Sebenarnya dalam kehidupan masyarakat majmuk seperti di Malaysia, tiada tempat untuk golongan ekstrimis agama. Yang ada cumalah golongan masyarakat yang bertolak ansur, bersatu padu, sebuah 'Bangsa Malaysia' yang bersama-sama melaungkan slogan 'Malaysia Boleh!’

Kita semua rindukan saat itu, saat di mana kita tak sabar menanti sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos. Tetapi pada hari ini keadaan tidak lagi seperti dahulu.

Negara ini bukanlah milik golongan liberal mahupun golongan ekstrimis. Negara ini milik masyarakat yang moderate dan bertolak ansur.

Inilah model negara yang diniatkan oleh Bapa Kemerdekaan kita, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.


MOHAMAD SIDDIQ AZANI seorang peguam syarie di Kuala Lumpur dan bergiat cergas dengan Persatuan Pengguna Islam malaysia (PPIM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda