Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga gula kekal
Diterbitkan:  May 23, 2017 2:11 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak akan membenarkan sebarang kenaikan harga gula pada masa ini, kata menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurutnya, ini kerana pada Mac lalu, kerajaan telah menaikkan harga gula sebanyak 11 sen sekilogram daripada RM2.84 kepada RM2.95 sekilogram.

“Mengapa perlu naikkan harga gula, terutama ketika semua orang tahu bahawa harga gula di pasaran dunia sedang menurun,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen #janganlebihlebih di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Harga gula di pasaran dunia kini yang berada pada kadar AS$0.17 sen bagi setiap paun.

Hamzah mengulas permintaan pengeluar gula, MSM Malaysia Holdings Bhd yang mahu kerajaan menaikkan harga runcit gula sebanyak 29 sen sekilogram lagi bagi mengimbangi kenaikan kos pengeluaran.

Menurut syarikat pengeluar itu, harga gula mentah yang tidak stabil, ditambah lagi prestasi semasa ringgit menjadikan 2017 sebagai tahun yang amat mencabar.

Kerajaan sudah menaikkkan kadar gula tempatan sebanyak 11 sen sekilogram kepada RM2.95 sekilogram pada 1 Mac lalu, walaupun MSM meminta kenaikan 40sen.

Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) memiliki 51 peratus saham MSM, syarikat utama pengeluar gula negara ini.

Menurut Hamzah , pihak pengurusan tinggi syarikat MSM Malaysia termasuk ketua pegawai eksekutifnya telah bertemu dengan beliau baru-baru ini untuk membincangkan perkara tersebut .

"Saya secara tegas beritahu harga gula tidak boleh dinaikkan kecuali syarikat itu mengalami kerugian besar-besaran.

Tetapi MSM Malaysia merekodkan keuntungan dan ia adalah tidak adil sekiranya kerajaan menaikkan harga gula agar mereka boleh lipat ganda keuntungan," katanya.

Lihat Komen
ADS