Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rasuah: Reman Koperal, pemandu van dilanjutkan 6 hari

Tempoh reman seorang polis berpangkat Koperal dan seorang pemandu van dilanjutkan enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan pusat urut di Melaka.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman itu di Mahkamah Majistret di Putrajaya hari ini, bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.

Polis berpangkat Koperal berusia 52 tahun yang bertugas di Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka adalah individu ke-10 ditahan berhubung kes berkenaan pada Rabu lepas.

SPRM turut merampas wang tunai RM800,000 di dalam stor rumah anggota polis berkenaan di kuarters polis Ibu Pejabat Kontinjen Melaka pada 2.15 petang.

Sementara itu, pemandu van yang dipercayai menjadi orang tengah mengutip wang perlindungan merupakan individu ke-11 yang ditahan berkaitan kes berkenaan pada Khamis lepas.

Difahamkan, akaun bank suspek berusia 32 tahun itu digunakan untuk memasukkan wang perlindungan yang dibayar pengusaha pusat judi haram dan rumah urut sebelum diagihkan kepada yang lain.

Sehingga kini, 12 individu termasuk dua Ketua Polis Daerah (KPD) dan lima anggota polis pelbagai pangkat direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Semalam, seorang pegawai kanan polis berpangkat DSP dari daerah Melaka Tengah ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

-Bernama

Lihat Komen
ADS