Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis minta keluarga pujuk Rizieq balik
Diterbitkan:  May 24, 2017 1:53 PM
Dikemaskini: 6:04 AM

GLOBAL | Polis Jakarta kini menggunakan keluarga Rizieq Shihab, untuk membantu membawa pulang ketua Front Pembela Islam (FPI) itu ke Indonesia bagi disoal siasat.

Media Indonesia melaporkan polis sudah meminta keluarga Rizieq memujuknya supaya kembali dari Arab Saudi.

Memetik jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono, akhbar The Jakarta Post melaporkan pihak berkuasa Indonesia berharap keluarga Rizieq akan bercakap dan meyakinkannya untuk pulang.

Rizieq, 51, kini dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes pornografi melibatkan dirinya serta seorang ibu tunggal dikenali sebagai Firza Husein.

Kedua-dua mereka didakwa terlibat dalam sembang lucah melalui aplikasi WhatsApp beberapa tahun lalu. Ia hanya terdedah selepas Firza ditahan atas dakwaan terlibat dalam rancangan menggulingkan kerajaan pada 2016.

Firza - penyelaras Solidaritas Sahabat Cendana Foundation - ditahan polis pada 31 Januari tahun ini.

Selain Firza, tujuh individu lain juga disiasat termasuk seorang anak bekas presiden Indonesia, , Rachmawati Soekarnoputri. Firza sempat ditahan selama 20 hari selepas polis mendapati dia sukar memberi kerjasama kepada penyiasat.

Melalui imej pegun yang menjadi tular, Rizieq dan Firza didakwa bersembang mengenai seks dan beberapa keping gambar bogel turut bertukar tangan.

Untuk rekod, Rizieq - bapa kepada tujuh anak itu - adalah tokoh utama menggerakkan kempen mendesak Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama - atau Ahok - didakwa di mahkamah atas tuduhan menghina Islam.

Dia turut memimpin beberapa demonstrasi di Jakarta.

Rizieq dikatakan berangkat ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah ketika isu skandal sembang lucah itu semakin hangat di Indonesia. Rizieq mendakwa tuduhan itu bersifat politik dan balas dendam.

Polis sudah dua kali memanggil Rizieq memberi keterangan.

Namun setakat ini dia masih mengelak dan belum memberi keterangan kepada polis.

Kes itu disiasat mengikut Akta Pornografi 2008 yang membawa hukuman penjara maksimum enam tahun.

Firza sudah memberi keterangan kepada polis Jakarta pada 16 Mei lalu dan setakat ini, kata Argo, pihak berkuasa memiliki bukti mencukupi untuk mendakwanya di mahkamah.

The Jakarta Post juga melaporkan, sistem pengenalan digunakan polis juga mengesahkan gambar bogel yang dihantar melalui WhatsApp itu memang Firza.

Lihat Komen
ADS