Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sebanyak 141 ekor tenggiling hidup jenis 'Manis Javanica' yang dipercayai untuk diseludup ke luar negeri ini, dirampas oleh Jabatan Perhilitan Kedah dan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Seraya, petang semalam.

Pengarah Jabatan Perhilitan Kedah, Muhammad Ali Che Aman berkata serbuan pada pukul 2 petang itu dilakukan susulan maklumat diterima pihak polis yang mengatakan premis terbabit telah dijadikan sebagai tempat penyimpanan tenggiling sebelum ia dijual.

"Seramai tujuh anggota polis bersama empat anggota Jabatan Perhilitan telah membuat pemeriksaan di premis terbabit dan menemui 141 ekor tenggiling yang merupakan spesies terjadual di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Semasa serbuan, seorang lelaki yang menyewa rumah tersebut tiada di rumah dan pemilik rumah telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Ali berkata kes disiasat di bawah Seksyen 68(2)(a) yang memperuntukkan denda antara RM50,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata pihaknya telah menerima aduan berhubung kes itu dan telah membuat serbuan dan berjaya merampas kesemua 141 tenggiling hidup bersama pelbagai barangan seperti bakul, penimbang, jaring dan troli yang dipercayai ada kaitan dengan kes terbabit.

-Bernama

Lihat Komen
ADS