Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Wan Azizah dan tiga lagi penemuan tinjauan INVOKE'

Tinjauan melalui telefon oleh INVOKE yang berkaitan dengan PKR, mendapati Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon yang paling popular untuk jawatan perdana menteri bagi pembangkang.

Bagaimanapun, tinjuan itu juga turut mendedahkan perkara-perkara lain.

1. Wan Azizah bukan pilihan popular untuk jawatan PM

Presiden PKR dan isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merupakan bukan pilihan popular untuk menjadi perdana menteri, walaupun majoriti dalam Pakatan Harapan menyokong beliau untuk jawatan itu secara sementara sehingga suaminya dibebaskan dari penjara.

Tinjauan itu mendapati bahawa daripada hampir 18,000 responden, hanya 1.6 peratus memilih Wan Azizah menjadi perdana menteri.

Anwar mendahului senarai calon-calon pembangkang untuk jawatan itu, dengan 8.1 peratus memilih beliau. Walaupun mungkin dibebaskan seawal tahun depan, jika tiada pengampunan, Anwar masih dilarang bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun.

Dengan Wan Azizah menjadi pilihan yang tidak popular, maka Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) mempunyai kes yang kuat untuk melonjakkan dua pemimpin tertingginya - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin - untuk jawatan perdana menteri.

Kedua-dua Dr Mahathir dan Muhyiddin mendapat lebih banyak sokongan dari responden, berbanding dengan Wan Azizah - dengan masing-masing mendapat 5.7 peratus dan 4.4 peratus.

Bagaimanapun, sokongan untuk Wan Azizah adalah lebih baik daripada timbalannya yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, yang hanya dipilih oleh 1.2 peratus responden.

Tetapi ia boleh dikatakan bahawa mereka yang menyokong Anwar untuk jawatan perdana menteri secara tidak langsung menyokong Wan Azizah kerana beliau mungkin memanaskan kerusi itu sehingga suaminya mendapat pengampunan.

2. Datuk Seri Abdul Hadi Awang di tempat ketiga

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di tempat ketiga pilihan paling popular untuk jawatan perdana menteri selepas penyandangnya Datuk Seri Najib Razak dan Anwar.

Sebanyak 6.1 peratus responden menyokong Hadi untuk jawatan tersebut.

Presiden PAS itu juga merupakan pilihan paling popular di kalangan penyokong pembangkang Melayu, sebanyak 29 peratus.

Lapan calon HARAPAN keseluruhannya memperolehi gabungan 28.5 peratus sokongan di kalangan responden, manakala Najib memperolehi 31 peratus.

Walaupun perdana menteri Malaysia tidak dipilih secara langsung, namun jika hasil tinjauan itu diterjemahkan kepada bagaimana rakyat mengundi parti-parti politik, iamengukuh ramalan bahawa HARAPAN mungkin kalah dalam pilihan raya akan datang kerana PAS memecah undi pembangkang.

3. BN masih mempunyai sokongan besar, tapi...

Walaupun tidak mempunyai sokongan majoriti, Najib dan BN, masih mendapat sokongan besar.

Sebanyak 44 peratus responden berkata mereka menyokong tindakan Najib sebagai perdana menteri, manakala 44 peratus tidak menyokong, dan 12 peratus tidak pasti.

Peratusan itu adalah sama di kalangan responden Cina dan India, manakala tindakan Najib itu disokong lebih tinggi sedikit oleh responden Melayu, dengan 49 peratus menyokong, 39 peratus tidak menyokong, dan 12 peratus tidak pasti.

Bagaimanapun, apabila ditanya siapa yang patut menjadi perdana menteri, hanya 31 peratus daripada responden memilih Najib.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang membentangkan hasil tinjauan itu, mendakwa sekiranya beliau memasukkan nama lebih ramai pemimpin BN, maka sokongan untuk Najib akan lebih berkurangan.

Ini mungkin satu petunjuk bahawa manakala rakyat menyokong BN, sejumlah penyokong mahu orang lain menjadi perdana menteri.

4. Ramai belum buat keputusan

Sebilangan besar responden tidak memberi jawapan mereka apabila ditanya, dan ini menunjukkan mungkin ramai masih belum membuat keputusan untuk mengundi siapa dalam pilihan raya umum akan datang.

Dua belas peratus tidak pasti sama ada mereka menyokong tindakan Najib sebagai perdana menteri, manakala 34.4 peratus tidak menamakan pilihan mereka bagi jawatan perdana menteri.

Rafizi mendakwa bahawa berdasarkan kaji selidik lalu, mereka yang tidak memberikan respon, berkemungkinan adalah penyokong pembangkang.

Bagaimanapun, tidak ada soalan dalam tinjauan ini untuk menunjukkan sama ada ini akan menjadi satu cara yang tepat untuk mentafsirkan data berkenaan.

Golongan atas pagar mungkin menjadi faktor penentu dalam pilihan raya akan datang, yang mungkin sengit.


[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS