Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ICJ: Singapura bantah semakan kehakiman Malaysia
Diterbitkan:  May 25, 2017 1:47 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

Singapura memfailkan pemerhatian bertulis di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kebolehterimaan permohonan Malaysia bagi semakan kehakiman terhadap keputusan ICJ pada 2008 mengenai kedaulatan Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Hal Ehwal Luar (MFA) berkata pemerhatian bertulis Singapura itu yang difailkan pada 24 Mei adalah bantahan menyeluruh bagi permohonan Malaysia.

"Singapura yakin dalam kes ini dan terhadap pasukan perundangan kami. Langkah seterusnya adalah bagi kedua-dua pihak mengemukakan hujah masing-masing selepas ICJ menetapkan jadual bagi prosiding lisan," kata kementerian itu.

Pada 2 Feb lepas, Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman keputusan ICJ yang diputuskan pada 23 Mei 2008 berhubung kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Dalam permohonan itu, Malaysia merujuk tiga dokumen yang diklasifikasi semula oleh United Kingdom, untuk menyokong permohonan itu.

Dokumen berkenaan adalah surat-menyurat dalaman pihak berkuasa penjajah Singapura pada 1958, satu insiden yang dilaporkan pada 1958 oleh seorang pegawai tentera laut British, dan peta beranotasi operasi tentera laut dari 1960-an.

Dalam penghakimannya, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sementara Batuan Tengah adalah milik Malaysia manakala Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS