Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Berucap pada pelancaran Syarahan Tun Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melahirkan penghargaan kepada bekas perdana menteri itu kerana kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Umno dan Barisan Nasional.

Tanpa menyebut sebarang nama, Najib pada majlis anjuran Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, menyelar mereka yang katanya, mengkhianati perjuangan Umno dan negara.

“Saya ingin menghargai kesetiaan Tun Abdullah selama ini, yang walau apa pun berlaku, beliau terus memberi sokongan padu dan berdiri teguh bersama daya, pihak kerajaan, parti Umno dan BN.

“Tidak sesekali pun beliau berfikir ingin berbuat tindakan untuk mengkhianati parti dan negara Malaysia, jauh sekali untuk keluar parti,” katanya.

Beliau berkata, Abdullah atau lebih senang dipanggil Pak Lah, bukan sahaja secara peribadi rakan karib kepada keluarganya malah tersemat di hati sebagai seorang abang, teman rapat dalam susah dan senang serta antara insan yang berhati mulia.

Malah katanya, beliau begitu terharu kerana Pak Lah, sanggup menyerahkan tampuk kepimpinan tertinggi Umno dan jawatan perdana kenteri kepadanya dengan penuh tertib dan kemuliaan tradisi parti,

“Apa menyentuh hati saya adalah, beliau bukan sahaja memanggil saya sebagai 'my brother', bahkan, Tun Abdullah adalah sahabat sebenar lagi sejati, kerana beliau tetap setia, sanggup bersama saya dan kerajaan ini, sama ada ketika senang mahupun susah,” katanya.

Najib berkata, pada sisi lain, beliau amat menghormati Abdullah sebagai seorang pemimpin yang cenderung mengangkat martabat Islam dan golongan agamawan.

Katanya, Abdullah turut mengimbangkan ciri pembinaan tamadun negara selaras pemikiran beliau menerusi kerangka Manhaj Hadhari.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan dana berjumlah RM5 juta kepada Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Najib turut mengumumkan penubuhan Kursi Tun Abdullah Ahmad Badawi yang akan ditempatkan di salah sebuah universiti awam di negara ini.

Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi ditubuhkan pada September tahun lalu.

Ia berfungsi sebagai pelaksana penganjuran syarahan Abdullah, menjalankan penyelidikan berkaitan legasi kepemimpinan Abdullah dan pusat rujukan untuk pihak awam bagi legasi kepemimpinan negarawan itu semasa menjadi perdana menteri kelima.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS