Paling Popular
Terkini

Usahawan China dan Pengasas Geely Automobile, Li Shufu, adalah orang yang berani membeli pengeluar kereta nasional yang mengalami kerugian, Proton.

Selepas bertahun-tahun dilanda kemerosotan jualan serta kekerugian, diharapkan Shufu akan menjadi orang yang akan menggunakan 'magik' beliau bagi memulihkan Proton sebagaimana yang dilakukan terhadap Volvo, iaitu pengeluar kereta berprestij Sweden.

Dengan rekod kejayaan beliau dalam memulihkan beberapa syarikat kereta yang rugi, kerajaan Malaysia dan syarikat induk Proton, DRB-Hicom yakin beliau akan membawa era baharu kepada pertumbuhan Proton.

Semalam, DRB-Hicom memeterai perjanjian dengan syarikat berpangkalan di China itu, Zhejiang Geely Holdings Group Ltd untuk kumpulan kereta China tersebut membeli 49.9 peratus kepentingan dalam pengeluar kereta nasional berkenaan.

Mengikut perjanjian tersebut, Proton akan menjual semua pegangan dalam pengeluar kereta sport Britain, Lotus pada harga 100 juta pound (£1=RM5.57), satu langkah yang akan membolehkan Proton mengurangkan kerugiannya.

Sebagai pemilik Geely, Shufu memegang 100 peratus ekuiti Volvo, tetapi mungkin masih ramai tidak menyedari yang pemilik syarikat itu berasal dari China.

Shufu adalah unik di kalangan ramai usahawan China hari ini kerana beliau melibatkan diri dalam pengeluaran kereta yang merupakan sektor yang dikuasai syarikat kerajaan dan multinasional.

Beliau mengasaskan Geely pada 1986 untuk menghasilkan peti sejuk dan menjadi pengeluar kereta pada 1997 apabila beliau ingin mengeluarkan kereta murah untuk orang ramai.

Geely Group mencatat jualan 1.3 juta kereta pada tahun kewangan 2016. Dan nilai Shufu kini dilaporkan mencecah AS$7 bilion.

Sebagai usahawan dan pemilik, pegangan hampir 50 peratus adalah satu kelebihan besar yang akan diperoleh Proton daripada kerjasama tersebut.

Ini kerana Geely adalah syarikat kereta yang 'dipacu usahawan' dan satu daripada beberapa syarikat yang masih tinggal di dunia berbanding firma-firma kereta yang dimiliki syarikat negara dan multinasional.

Sebagai usahawan dan pemilik, tidak diragui akan wujud komitmen peribadi yang lebih tinggi bagi memastikan Proton mencapai kejayaan di peringkat domestik, serantau dan mungkin juga global.

Tidak hairanlah beliau kadang-kala dirujuk sebagai 'Henry Ford China.'

Sebelum beliau membeli Volvo pada 2010, pengeluar kereta Sweden yang ketika itu dimiliki Ford, berada diambang kemuflisan.

Shufu juga memilik London Taxi Company.

Dengan kepakaran Geely, seseorang itu boleh menjangka model baharu Proton, pemindahan teknologi, lebih banyak peluang pekerjaan, jurutera automotif serta tempahan lebih besar untuk vendor komponen.

Kerjasama itu juga boleh membantu meningkatkan pengeluaran di kilang di Tanjung Malim kepada kapasiti penuh tahunan.

Pembelian Proton oleh syarikat China itu sangat sesuai dengan rancangannya agar kehadirannya di Asia Tenggara dirasai kerana ia sudah lama mencari kilang pengeluaran kereta di rantau ini.

Sentimen pelabur ke atas Geely amat menggalakan dengan harga sahamnya di Bursa Saham Hong Kong telah meningkat daripada HKD3.77 pada 2014 kepada HKD11.50 setakat 22 Mei 2017.

Hanya masa dapat menentukan sama ada Proton akan muncul kembali sebagai peserta automotif yang disegani.

Bagaimanapun dengan sokongan padu Shufu serta Geely, jenama Proton milik kita yang sangat disayangi itu akan mempunyai peluang cerah untuk kembali pulih, mungkin dengan gemilang.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS