Paling Popular
Terkini

Dilihat sebagai satu tamparan terhadap Presiden Donald Trump, sebuah mahkamah rayuan AS semalam enggan untuk mengembalikan semula larangan perjalanan ke atas rakyat dari enam negara majoriti Islam, selepas memutuskan ianya satu diskriminasi dan bakal menyaksikan pertarungan di Mahkamah Agung.

Keputusan itu, yang ditulis oleh Hakim Roger Gregory, menyifatkan perintah eksekutif Trump itu sebagai "kata-kata yang samar mengenai keselamatan negara, tetapi mengandungi intoleransi agama, kebencian, dan diskriminasi."

Peguam Negara Jeff Sessions berkata dalam satu kenyataan bahawa kerajaan, yang mengatakan bahawa larangan perjalanan sementara diperlukan untuk lindungi daripada serangan pengganas, akan memohon semakan kes itu di Mahkamah Agung.

"Ini jelas sangat berbahaya dan kita perlukan setiap apa yang kita ada untuk menghalang pengganas dari memasuki Amerika Syarikat dan melakukan pertumpahan darah dan keganasan," kata Michael Short, seorang jurucakap Rumah Putih.

Beliau menambah bahawa Rumah Putih yakin perintah itu akhirnya akan dipertahankan oleh badan kehakiman.

Dalam keputusan 10-3, Mahkamah Rayuan itu berkata, mereka yang mencabar larangan itu, termasuk kumpulan pelarian dan individu, berkemungkinan akan berjaya dalam tuntutan mereka bahawa perintah itu melanggar perlembagaan AS dalam memihak kepada satu agama ke atas yang lain.

Gregory memetik kenyataan Trump semasa pilihan raya presiden 2016 yang menggesa larangan dikenakan ke atas orang Islam.

Semasa kempen, Trump menggesa "penutupan sepenuhnya kemasukan orang Islam ke Amerika Syarikat" dalam satu kenyataan di lamanwebnya.

Hakim itu menulis bahawa pemerhati yang munasabah mungkin akan membuat kesimpulan bahawa tujuan utama perintah itu adalah untuk mengasingkan orang dari Amerika Syarikat atas dasar kepercayaan agama mereka.

kerajaan telah berhujah bahawa mahkamah tidak perlu mengambil kira komen Trump semasa berkempen, kerana ianya dibuat sebelum beliau mengambil alih jawatan pada 20 Januari.

Tetapi mahkamah rayuan menolak pandangan itu dengan menyatakan bahawa ia memberi gambaran motivasi terhadap tindakan Trump dalam kerajaan.

Mahkamah rayuan mempersoalkan hujah kerajaan bahawa presiden mempunyai kuasa luas untuk menghentikan kemasukan orang ke Amerika Syarikat.

"Kongres memberikan kuasa yang luas kepada presiden untuk menafikan kemasukan kepada orang asing, tetapi kuasa itu tidak mutlak.

"Ia tidak boleh sampai tidak terkawal apabila, seperti di sini, presiden menggunakannya melalui perintah eksekutif yang boleh menyebabkan kemudaratan terhadap individu di seluruh negara ini," kata pendapat majoriti hakim.

[Baca berita penuh]

- Reuters

Lihat Komen
ADS