Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk terpaksa guna tongkang seberang sungai
Diterbitkan:  May 26, 2017 5:35 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Penduduk Kampung Tanjong Piasau dekat Sandakan mengalami kesukaran untuk bergerak kerana terpaksa menggunakan tongkang bagi menyeberangi Sungai Lalsun.

Bagi pemilik kenderaan biasa, mereka terpaksa membayar RM30 untuk sekali menyeberang dan RM75 bagi pemilik lori untuk menyeberang sungai sejauh 100 meter.

Bagi penduduk yang mahu membawa hasil tanaman mereka seperti kelapa sawit ke kilang di seberang sungai, keadaan tongkang yang kecil menyukarkan mereka membawanya dalam kuantiti yang banyak.

"Tongkang ini selalunya bersaiz kecil kerana hanya boleh memuatkan dua buah lori seberat lima tan untuk sekali perjalanan dan tiga buah bagi kenderaan biasa.

"Tongkangnya pula kadang kala tidak beroperasi kerana sering mengalami kerosakan enjin. Ini sudah tentu menyukarkan saya untuk mengangkut buah kelapa sawit ke kilang.

"Setiap kali tongkang tidak beroperasi, saya terpaksa mencari inisiatif lain dengan mengangkut buah kelapa sawit saya dengan bot untuk ke jeti. Ini akan meningkatkan kos operasi mengangkut buah," kata Borhan Yaakob kepada Bernama.

Sehubungn itu beliau meminta kerajaan mempertimbangkan permintaan penduduk untuk membina jambatan bagi menyeberang sungai.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Tanjong Piasau, Abdul Salam Sahak berkata terdapat kira-kira 650 penduduk di Kampung Tanjong Piasau yang memerlukan kemudahan pengangkutan yang lebih efisien.

"Pembinaan jambatan akan memudahkan urusan harian penduduk termasuk anak-anak kami untuk ke sekolah. Pada masa sekarang, anak-anak kami yang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Elopura di Batu 10 terpaksa menaiki bot untuk ke jeti sebelum menyambung perjalanan dengan bas sekolah atau kereta persendirian.

- Bernama

Lihat Komen
ADS