Paling Popular
Terkini
story images
story images

Sekatan terhadap bekas pegawai kanan Pusat Islam, Ahmad Awang, mungkin dibuat atas pertimbangan pihak pengurusan masjid dan surau kata seorang pemimpin kanan PAS hari ini.

Kata Sallehen Mukhyi, keputusan membenarkan atau mengetepikan seseorang guru agama menyampaikan pengajian terletak di tangan jawatankuasa masjid dan surau.

"Mungkin pihak masjid tidak berkenan dengan beliau," katanya kepada Malaysiakini.

Sallehen diminta mengulas status bekas naib presiden PAS itu yang mendakwa diketepikan berbelas masjid dan surau sejak bertanding melawan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 2015.

Sesetengahnya sudah memberikan ruang kepada Ahmad menyampaikan kuliah berpuluh tahun.

Ahmad bagaimanapun kalah dan diketepikan daripada arus perdana PAS. Beliau bersama sejumlah pemimpin kanan parti itu kemudian menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Perkembangan itu dipercayai ada kaitan dengan pendirian politik Ahmad kerana sebahagian daripada anggota jawatankuasa masjid dan surau di Selangor diisi oleh ahli atau penyokong PAS.

Sallehen yang baru dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Selangor menjelaskan terpulang kepada pihak jawatankuasa masjid atau surau membuat keputusan mengenai siapa yang dibenarkan menyampaikan kuliah di tempat mereka.

"Kita tak boleh campur tangan dalam soal pentadbiran masjid sebab ia mempunyai pentadbiran sendiri.

"Mereka berhak untuk menentukan siapa yang hendak memberikan kuliah," katanya.

Tak boleh, tak bolehlah

Mengulas lanjut, Sallehen menegaskan soal pengurusan pengajian agama di Selangor tidak dikawal oleh mana-mana parti politik.

"Sebenarnya kuliah dan pengajian agama di Selangor tidak dikawal oleh mana-mana parti dan ia dibuat terus oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

"Jadi, kalau dia mengatakan ada guru-guru agama yang berkaitan dengan Tuan Guru Hadi (menggantikannya) ini bukan perancangan di peringkat Mais.

"Mungkin kebetulan sahaja dia ada hubungan tetapi penilaian kuliah-kuliah bukan berdasarkan kepada itu tetapi daripada tauliah Mais," tegas Sallehen.

Sallehen yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak berkata adalah lebih baik Ahmad bertanya sendiri kepada pihak pentadbiran masjid dan surau berhubung perkara tersebut.

"Bukan Ahmad seorang, bahkan ramai lagi yang ada tauliah tapi disekat, jadi mereka perlu menerima hakikat dan menempatkan diri untuk disenangi oleh pihak masjid," katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas itu sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali juga nampak sependapat dengan Sallehen.

"(Kalau) dah tak boleh, tak bolehlah. (Kena) ikut peraturan," katanya ringkas kepada wartawan di Hulu Kelang hari ini.

Azmin ditemui di majlis serahan sumbangan sempena Ramadan untuk masjid di kawasan parlimen Gombak dan dewan undangan negeri Bukit Antarabangsa.

Pemuda AMANAH Selangor pula pada hari ini berpendapat tindakan menyekat Ahmad daripada menyampaikan ilmunya sebagai tidak demokratik.

Lihat Komen
ADS