Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CIDB rampas 27 kad personel binaan palsu
Diterbitkan:  May 27, 2017 6:30 AM
Dikemaskini: 10:35 PM

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengeluarkan 105 notis kesalahan terhadap sebuah projek pembinaan di sekitar Lembah Klang dalam operasi penguatkuasaan bersepadu (OPB).

Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan yang mengetuai operasi berkenaan, Suhaimi Mansor berkata kesemua notis itu adalah kesalahan melibatkan pendaftaran, akreditasi dan latihan personel binaan.

Beliau berkata dalam OPB itu, 230 pekerja terdiri daripada pelbagai warganegara diperiksa dan daripada jumlah itu, 27 daripada mereka melibatkan ​​Indonesia (13), sembilan rakyat Bangladesh, empat warga tempatan dan seorang Vietnam memegang kad pemerakuan personel binaan palsu.

Suhaimi berkata CIDB mengambil tiga keterangan dan telah membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut.

"Siasatan itu melibatkan projek cadangan pembangunan bercampur yang mengandungi Fasa 1 melibatkan sebuah blok lapan tingkat yang mengandungi tiga tingkat tempat letak kenderaan, empat tingkat aras bawah ruang pejabat dan kedai serta satu paras sub tingkat bawah tanah tempat letak kenderaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Suhaimi berkata bagi Fasa 2 melibatkan dua blok 39 tingkat menara pangsapuri servis serta dua tingkat podium tempat meletak kenderaan berserta ruang rekreasi.

"Mengikut Akta 520 Seksyen 33 adalah menjadi kesalahan kepada penyelia tapak binaan atau pekerja binaan mahir yang melakukan kerja-kerja di tapak binaan tanpa terlebih dahulu diakreditasi dan diperakukan oleh CIDB," katanya.

Dalam OPB itu, CIDB turut merampas 27 kad pemerakuan personel binaan palsu selain menyita 23 dokumen bagi membantu siasatan mengikut Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994, Akta 520.

OPB berkenaan melibatkan 23 anggota penguatkuasa CIDB cawangan ibu pejabat, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, selain 44 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia Selangor.

- Bernama

Lihat Komen
ADS