Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Panel perisikan Senat minta dokumen kempen Trump
Diterbitkan:  May 27, 2017 12:09 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

Jawatankuasa Perisikan Senat yang menyiasat campur tangan Rusia dalam pilihan raya AS 2016, telah meminta organisasi politik Presiden Donald Trump untuk menyerahkan semua dokumen sejak dari pelancaran kempen pada bulan Jun 2015, lapor Washington Post pada hari Jumaat, memetik dua wakil yang terlibat dalam permintaan itu.

Surat dari panel Senat itu yang mahukan semua dokumen, emel dan rekod telefon, sampai kepada jawatankuasa kempen Trump minggu lepas dan dialamatkan kepada bendaharinya, kata Post.

Ini menandakan kali pertama organisasi kempen Trump diheret ke dalam siasatan jawatankuasa terhadap dakwaan campurtangan Russia dalam pilihan raya presiden, katanya.

Berpuluh-puluh bekas kakitangan kempen dijangka dihubungi tidak lama lagi untuk memastikan mereka maklum mengenai permintaan itu, kata Post yang memetik dua orang.

Surat itu ditandatangani oleh Senator Republikan Richard Burr, pengerusi jawatankuasa itu, dan Senator Mark Warner dari Demokrat, kata Post, yang berkata wakil Burr dan Warner enggan mengulas.

Siasatan kongres terhadap campur tangan Russia itu dalam pilihan raya presiden itu, adalah berasingan daripada siasatan oleh seorang peguam khas yang dilantik minggu lalu oleh Jabatan Keadilan, bekas Pengarah FBI Robert Mueller.

Jawatankuasa kempen Trump, yang berpusat di Trump Tower di New York, kini diketuai oleh Michael Glassner, bekas timbalan pengurus kempen dan John Pence, anak saudara Naib Presiden Mike Pence, lapor Post.

Glassner tidak segera memberi respons kepada permintaan untuk komen dan wakil Rumah Putih tiada komen segera, kata Post.

Pentadbiran Trump telah dibelenggu kebimbangan mengenai hubungannya dengan Russia dan persoalan sama ada sekutu Trump mungkin telah bekerjasama dengan Russia untuk masuk campur dalam pilihan raya tahun lepas bagi pihak Trump.

Agensi perisikan AS membuat kesimpulan pada bulan Januari bahawa Moscow cuba untuk mempengaruhi undi November yang memihak kepada Trump. Russia telah menafikan terbabit, dan Trump telah menafikan sebarang pakatan sulit antara kempennya dengan Russia.

Kontroversi melanda Trump sejak beliau memecat Pengarah FBI, James Comey pada 9 Mei ketika Comey menyelia siasatan terhadap kemungkinan wujud pakatan sulit antara kempen pilihan raya presiden dengan Russia.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS