Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mencari jalan singkat ke syurga, kononnya lakukan jihad'
Diterbitkan:  May 27, 2017 2:09 PM
Dikemaskini: 6:13 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dua warga Malaysia yang terbunuh dalam pertempuran di bandar Marawi, Mindanao, Filipina tidak langsung mempunyai pendidikan agama Islam sebenar.

Beliau berkata kedua-dua mereka sebaliknya mencari jalan singkat ke syurga dengan kononnya melakukan jihad.

"Mereka tidak ada pendidikan agama Islam pun, mereka mahu menjadi syuhada," katanya ketika merasmikan program talaqqi dan tadarus 30 juzuk Al Quran di Masjid Al Hidayah Kampung Sungai Penchala di ibunegara hari ini.

Dua rakyat Malaysia itu dipercayai antara 13 militan yang terbunuh dalam pertempuran di selatan Filipina.

Pertempuran itu berlaku apabila pasukan keselamatan Filipina menyerbu Marawi untuk memburu pemimpin Kumpulan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, serta kumpulan Maute, yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Daesh.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata individu yang tidak memahami Al-Quran cenderung terlibat dalam kegiatan keganasan kerana salah mentafsir ayat kitab suci itu.

Katanya, mereka juga menjadi taksub dengan sesetengah individu yang menggunakan agama selain terpengaruh melakukan sesuatu yang terpesong daripada ajaran Al-Quran.

Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata kajian dilakukan kementeriannya mendapati 87 peratus yang terlibat dalam kegiatan keganasan tidak mempunyai asas pendidikan agama.

Katanya, kerajaan telah mengambil langkah menahan individu yang terlibat dengan kumpulan keganasan dan melakukan program deradikalisasi bagi memulihkan mereka yang tersasar.

"Kita mohon supaya tidak berlaku kejadian keganasan di negara kita," katanya.

Sementara itu, di majlis tersebut, Ahmad Zahid menyumbangkan 320 naskah al-Quran kepada peserta program talaqqi dan tadarus berkenaan.

Beliau turut membaca surah al-Baqarah bersama-sama 400 peserta program itu.

Turut hadir pengerusi masjid berkenaan Datuk Thobrani Hanafi dan pembimbing talaqqi Sheikh Said Abdellatif Karawia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS